Conor McGregor buat kejutan, umum bersara dari MMA
Haider Yutim
Mac 26, 2019 13:59 MYT
Mac 26, 2019 13:59 MYT
BINTANG seni bela diri campuran (MMA) UFC Conor McGregor hari ini mengejutkan peminat dengan mengumumkan persaraannya dari sukan itu.
McGregor, 30 tahun, membuat pengumuman tersebut menerusi kenyataan ringkas di akaun Twitternya pada Selasa.
“Hi rakan-rakan, pengumuman ringkas, saya ambil keputusan untuk bersara dari sukan yang dahulunya dikenali sebagai ‘mixed martial art’ hari ini.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sekerja saya. Dan sekarang ingin menyertai rakan-rakan lama yang telah bersara,” kata petinju dari Ireland itu.
Meskipun begitu, ramai yang agak skeptikal dengan pengumuman tersebut dan menyifatkan ia hanyalah 'taktik' untuk mempromosikan diri serta pertarungannya yang seterusnya.
Setakat ini juga masih belum ada kenyataan rasmi dari pihak UFC yang mengesahkan perkara berkenaan, selain presidennya Dana White menyifatkan perkara itu suatu yang "masuk akal".
Ini bukanlah pertama kali McGregor membuat 'pengumuman' sedemikian kerana pada tahun 2016 lalu, dia pernah memuatnaik satu tweet yang mengatakan dia akan bersara muda.
McGregor merupakan petarung pertama UFC yang memegang dua gelaran dunia serentak selepas menewaskan Eddie Alvarez di Manhattan, New York pada 2016.
Kali terakhir dia bertarung ialah dengan jaguh Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.
Susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan di UFC 229, McGregor dan Khabib kini telah didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).
McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.
#Conor McGregor
#Dana White
#Khabib Nurmagomedov
#McGregor retires from MMA
#McGregor umum bersara dari MMA
#Mixed Martial Arts
#seni bela diri campuran
#UFC
#Ultimate Fighting Championship