Colleen raih emas untuk Malaysia di Kejohanan MMA Terbuka Asia
Haider Yutim
Mei 5, 2019 08:05 MYT
Mei 5, 2019 08:05 MYT
Atlet seni bela diri campuran (MMA) wanita Malaysia, Colleen Augustin berjaya meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Petarung berusia 21 tahun itu menewaskan Nurzhamal Sadykova dari Khzakhstan untuk perlawanan divisyen strawweight menerusi TKO (technical knockout) pada pusingan kedua.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan Colleen wanita Malaysia yang pertama memperolehi pingat emas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa anjuran IMMAF-WMMAA itu.
"Saya menangis atas podium semasa mendengar lagu kebangsaan dimainkan, sementara penyokong Malaysia yang hadir turut menyanyikannya dengan kuat dan penuh bangga.
"Ia betul-betul menyentuh hati saya, kerana saya menjadi sebab lagu kebangsaan dimainkan untuk seluruh Asia mendengarnya," kata Colleen menerusi catatan di laman Instagramnya.
Selain MMA, anak jati Pulau Pinang itu turut aktif dalam sukan Muay Thai, kickboxing, Brazilian Jiu-jitsu dan Spartan Race.
Sementara itu, seorang lagi atlet negara Brandon Tang, berjaya meraih pingat gangsa bagi pertandingan divisyen strawweight lelaki.
Tang menewaskan Ebrahim Darwish dari Bahrain di peringkat separuh akhir, namun tumpas kepada Bagdat Zhubanysh dari Kazakhstan di peringkat akhir.
#Asian Open Championships
#Atlet MMA wanita Malaysia
#Bangkok
#Colleen Augustin
#Kejohanan Terbuka Asia
#MMA
#MMAF-WMMAA
#pingat emas
#seni bela diri campuran