Cleveland Classic: Nicol mara, Wee Wern tersingkir
Bernama
Februari 2, 2014 07:52 MYT
Februari 2, 2014 07:52 MYT
Nasib berbeza menimpa dua pemain wanita negara pada Kejohanan Skuasy Terbuka Cleveland Classic 2014 apabila Datuk Nicol Ann David mara ke suku akhir manakala Low Wee Wern terkandas pada pusingan pembukaan di Ohio, Amerika Syarikat, pada Ahad.
Nicol, dalam misi memburu gelaran kedua musim ini, hanya memerlukan masa 40 minit untuk menyingkirkan bekas juara remaja dunia Nour El Sherbini dari Mesir dengan keputusan 11-2, 11-8 dan 11-3.
Ratu skuasy negara itu memulakan kalendar Tahun Baharu dengan menjuarai Kejohanan Juara-Juara 2-14 di New York, Amerika Syarikat, pada 25 Jan lepas.
Menurut laman web kejohanan, www.squashsite.co.uk, dalam saingan suku akhir, Nicol, 30, akan menentang pemain pilihan kelima, Camille Serme dari Perancis.
Bagaimanapun, Camille menerima kejutan awal pada pusingan pertama apabila kalah set pertama 9-11 sebelum bangkit untuk mengalahkan pemain England daripada pusingan kelayakan, Sarah Kippax dengan 11-6, 11-8 dan 11-5.
Bagaimanapun, pemain nombor dua negara, Wee Wern memberi tentangan sengit pada pertarungan selama 49 minit sebelum tunduk kepada pemain bukan pilihan Omneya Abdel Kawy dari Mesir dengan 4-11, 9-11, 11-8 dan 8-11.
Omneya menghadapi laluan getir pada saingan suku akhir apabila dijadual menentang pemain pilihan keempat, Alison Water dari England, yang mengecewakan bintang meningkat dari India, Dipika Pallikal dengan 12-10, 11-4 dan 11-9.
Pada kejohanan tersebut, semua pemenang pusingan pertama layak ke peringkat suku akhir.