City pintas Arsenal

Sinar Harian
Februari 16, 2023 10:15 MYT
Eddie Nketiah membuat cubaan di pintu gol ketika perlawanan di antara Arsenal dan Manchester City di Stadium Emirates, London, awal pagi tadi. -AP
MANCHESTER City memintas Arsenal di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membenam skuad The Gunners itu 3-1 di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Perancang tengah, Kevin De Bruyne menghukum kesilapan yang dilakukan pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu untuk meletakkan City di depan pada minit ke-24.
Namun, Arsenal berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum aksi babak pertama berakhir menerusi sepakan penalti Bukayo Saka.
Sebaik aksi babak kedua bersambung, City 'mengajar' Arsenal apabila mendominasi perlawanan sepenuhnya sebelum Jack Grealish dan Erling Haaland masing-masing meledak satu gol.
“Kami harus terima kekalahan ini. Ia adalah pertarungan luar biasa antara dua pasukan besar tetapi kami memberikan mereka gol.
“Kami perlu berdepan Manchester City dalam saat genting dan mereka pula lebih baik daripada kami. Kami meletakkan diri dalam masalah,” kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.
Biarpun dipintas City menerusi perbezaan gol selepas kedua-dua pasukan berkongsi 51 mata, namun Arsenal masih memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding The Citizens. -Sinar Harian
#Liga Perdana Inggeris #Arsenal #Manchester City #EPL
;