City perlu menang trofi - Guardiola fokus kejayaan di Wembley

Astro Arena
Februari 24, 2018 10:32 MYT
GUARDIOLA: Kami akan beraksi dalam perlawanan akhir dan kami akan cuba mengulangi apa yang telah kami lakukan, membuktikan kemampuan kami. - Gambar fail
PEP Guardiola sedar revolusi yang dicetuskannya di Manchester City akan dihakimi oleh kejuaraan menjelang perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Arsenal, awal pagi Isnin nanti.
Bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu telah mengubah gaya permainan City dan pasukannya kini dalam landasan meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kelebihan 16 mata di depan musuh terdekat, Manchester United.
Selepas tanpa trofi pada musim sulungnya di Manchester -- kegagalan pertama kali dalam karier jurulatih -- lebih-lebih selepas disingkirkan Wigan Athletic dalam Piala FA pada awal minggu ini, Guardiola mahu anak buahnya bangkit.
Peluang meraih empat kejuaraan belum pernah wujud dalam kamus City, namun Guardiola berazam untuk meraih kemenangan kesembilan dalam 10 aksi di pentas final.
"Kami perlu menjulang kejuaraan untuk menambah apa yang telah kami usahakan," katanya dalam sidang media.
"Pada Ogos lalu kami berkata demikian, kami akan dihakimi menerusi berapa banyak gelaran yang kami menangi kerana kelab-kelab besar sentiasa seperti ini. Selama lapan bulan ini, kami berjuang bersama-sama untuk menghidupkan peluang -- kami memang berhak.
"Sudah tentu kami akan dihakimi, ini adalah kelab yang perlu diperbesarkan setiap tahun dan memenangi gelaran, ketika ini kami berpeluang untuk menang."
Persoalan mengenai peluang meraih empat kejuaraan sering berlegar-legar, Guardiola sendiri menjangkakan mereka tidaklah kebal dalam Liga Perdana sebelum dikecewakan oleh gol Will Grigg. Sebaliknya dia berasa lega berpeluang meraih kejuaraan ketika berdepan Arsenal nanti berbanding memikirkan cita-cita yang lebih besar.
"Apabila orang bertanya mengenai peluang memenangi empat gelaran, saya berkata sudah tentu kami akan cuba tetapi pasukan besar tidak dapat melakukannya, jadi mengapa saya fikir kami boleh melakukannya?" katanya.
"Kami akan beraksi dalam perlawanan akhir dan kami akan cuba mengulangi apa yang telah kami lakukan, membuktikan kemampuan kami.
"Kemudian dalam Liga Perdana, kami perlu menang enam perlawanan untuk menjadi juara, satu persaingan paling berprestij sebelum kami akan melihat tahun depan."
Biarpun sinonim sebagai pemain dan jurulatih Barca yang sering menikmati kejayaan di Wembley, Guardiola masih berasa bahangnya.
"Perlawanan akhir sentiasa istimewa," ujar pengendali itu. "Ia milik pemain -- betapa beraninya anda dan sejauh mana ia menjadi dorongan untuk penampilan anda.
"Saya ingin melihat pasukan saya bermain seperti biasa, final tidak perlu menjadi sesuatu yang berbeza.
"Di hadapan 90,000 penyokong di stadium yang indah di London -- ini akan menentukan siapa kami.
"Jangan menyesal selepas perlawanan, seperti yang kami lakukan selepas perlawanan Wigan.
"Jika kalah, anda perlu memperbaiki permainan anda," tambahnya.
#Arsenal #Bayern Munich #EPL #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #Manchester United #Pep Guardiola #Wigan Athletic
;