City didenda RM713,000 kerana kepung pengadil

Sinar Harian
Disember 19, 2023 11:30 MYT
Pemain Manchester City mengepung pengadil ketika perlawanan menentang Tottenham Hotspur awal bulan ini. - Foto fail/AP
MANCHESTER City didenda £120,000 (RM713,000) selepas pemain mereka mengepung pengadil Simon Hooper ketika seri 3-3 dengan Tottenham Hotspur awal bulan ini.
Beberapa bintang City, termasuk Erling Haaland mengepung pengadil, Hooper selepas dia tidak memberikan 'advantage' pada minit terakhir dalam aksi di Stadium Etihad.
Haaland telah dikasari oleh Emerson Royal, namun berjaya bangun kembali dan menghantar bola kepada Jack Grealish.
Namun, ketika Grealish sudah menerima hantaran tersebut dan membawa bola ke arah gol, Hooper meniup wisel untuk memberikan tuan rumah sepakan percuma.
Situasi itu mencetuskan kemarahan pemain-pemain City terutamanya penjaring terbanyak mereka, Haaland.
Haaland turut meluahkan kekecewaannya di laman media sosial X dan mengakui tidak percaya dengan keputusan pengadil itu.
Persatuan Bola Sepak (FA) England telah mendenda City selepas mereka mengakui pemain mereka berkelakuan tidak wajar.
“Manchester City FC telah didenda £120,000 selepas pemain mereka mengepung pegawai perlawanan pada perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham Hotspur FC pada Ahad 3 Disember.
"Manchester City FC mengakui bahawa mereka gagal memastikan pemain mereka tidak berkelakuan tidak wajar pada minit ke-94. Suruhanjaya kawal selia bebas mengenakan hukuman ini selepas perbicaraan," kata FA England dalam kenyataan. - Sinar Harian
#Manchester City #Simon Hooper #pengadil #FA
;