City di landasan pencapaian bersejarah

Astro Arena
April 21, 2023 09:15 MYT
Manchester City memiliki kelebihan tiga gol yang kukuh menjelang pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich. - Foto Astro ARENA
MANCHESTER City kekal dalam persaingan untuk melakar sejarah dengan tiga kejuaraan musim ini dan kebarangkalian mereka melakukannya turut meningkat selepas membenam Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara (UCL).
Skuad kendalian Pep Guardiola itu menempah kemaraan ke separuh akhir dengan agregat 4-1 selepas mengikat tuan rumah 1-1 di Munich pada malam Selasa.
City seterusnya akan menghadapi juara bertahan, Real Madrid – yang menyingkirkan mereka di peringkat sama setahun lalu – untuk mengintai peluang beraksi dalam final di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul pada 10 Jun nanti.
Dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pula, City kini empat mata di belakang pendahulu, Arsenal. Selepas hujung minggu ini, anak buah Guardiola akan mempunyai dua perlawanan dalam tangan sebelum mengharungi “ibu semua perlawanan” dengan The Gunners pada 26 April.
Harapan City terhadap ‘treble’ akan lebih dahulu teruji daripada tentangan Sheffield United dalam separuh akhir Piala FA di Wembley, malam esok. Mengikut perkiraan, mereka harus melepasi halangan pasukan daripada Liga Kejuaraan itu, yang terdahulu menyingkirkan Tottenham.
Malah, laman dailymail.co.uk mengandaikan kebarangkalian untuk The Citizens menjulang tiga trofi musim ini sudah pun meningkat dari permulaan kempen lagi, dan ia jauh daripada mengejutkan.
Diputarkan jam ke belakang ke permulaan musim 2022/23 ini, City tampil di garis mula setelah menjuarai EPL – memintas Liverpool dengan kelebihan setipis satu mata – di samping menandatangani Erling Haaland daripada Borussia Dortmund.
Seiring dengan itu, firma-firma pertaruhan di United Kingdom menawarkan kebarangkalian 20/1 untuk mereka unggul di dalam liga, Piala FA dan UCL.
Kemudian, menyusuli kemenangan 3-1 ke atas Leeds United di Elland Road pada 28 Disember 2022, kebarangkalian untuk mereka menyambar ‘treble’ dinaikkan lagi kepada 12/1, menurut Paddy Power.
Berselang dua bulan pada Februari, habuan untuk kelab itu meraih ketiga-tiga trofi ditetapkan pada 10/1 yang didasarkan kepada kemenangan 3-0 ke atas Bristol City dalam pusingan kelima Piala FA.
Lantas, bukan menghairankan apabila kebarangkalian itu terus dinaikkan kepada 7/1 selepas kemenangan 4-1 ke atas Southampton di tempat lawan pada 9 April lalu hasil dua jaringan Haaland dan selebihnya daripada Julian Alvarez dan Jack Grealish.
Empat hari selepas itu, Guardiola dan pemain-pemainnya memperagakan kekuasaan mereka dengan bukti kemenangan 3-0 ke atas Bayern Munich dalam perlawanan peringkat pertama suku akhir UCL di Etihad.
Haaland – untuk golnya yang ke-48 musim ini -- mencatat nama dalam senarai penjaring ketika seri 1-1 dalam perlawanan timbal balik kelmarin hingga mendorong bekas pemain City yang kini bersama Bayern Munich, Leroy Sane, menyifatkan bekas pasukannya itu sebagai “sukar dipercayai”.
Guardiola seterusnya akan memimpin pasukannya membuat perhitungan dengan Sheffield United tengah malam esok, dengan pemenangnya meraih habuan beraksi dalam final Piala FA di Wembley pada 3 Jun.
Lebih dinanti-nantikan ialah pertemuan Manchester City-Arsenal di Etihad pada 27 April yang bakal memberi isyarat jelas di mana trofi EPL akan diarak nanti. Arsenal terdahulu tewas 1-3 dalam pertembungan kedua-dua pasukan di Emirates, 16 Februari lalu.
Terbaru, Guardiola dilaporkan gusar dengan kemungkinan pemain-pemainnya semakin kehabisan tenaga dalam ikhtiar mereka untuk menjuarai pelbagai kejohanan selepas menempah kemaraan ke peringkat empat terakhir UCL.
Namun, lebih daripada segala-galanya, kegusarannya itu harus dianggap sebagai sebahagian perang saraf semata-mata.
Adakah ini musimnya untuk City meraih ‘treble’ akhirnya?
“Ia kelihatan semakin pasti. Mereka sudah terlalu hampir dengannya -- terlalu dekat untuk siapa saja lawan mereka boleh berasa selesa,” kata Gary Neville, ‘pundit’ televisyen yang harus mewakili suara ramai.
#Manchester City #Pep Guardiola #Real Madrid #firma pertaruhan
;