Christopher Raj sedia 'angkat kaki' jika Malaysia gagal ke Piala Asia B-17
Bernama
Jun 30, 2024 15:35 MYT
Jun 30, 2024 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pengurus skuad bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan Christopher Raj sedia mengundur diri sekiranya Malaysia tidak layak ke kejohanan Piala Asia bawah 17 tahun (B-17) 2025.
Meskipun memberi bayangan sedia melepaskan jawatannya, Christopher masih percaya betapa skuad muda akan bangkit pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 selepas terkandas di peringkat kumpulan saingan Kejuaraan B-16 ASEAN di Surakarta, Indonesia ketika ini.
"Tahun lepas, skuad negara layak ke Piala Asia B-17 edisi 2023. Maka tidak mustahil kita berjaya melakukannya sekali lagi.
"Bagaimanapun sekiranya gagal, saya akan mengundur diri untuk memberi peluang kepada muka baharu menggalas tanggungjawab ini membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengakui kegagalan di Indonesia pahit untuk ditelan, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap pasukan bimbingan Javier Jorda Ribera yang gagal menyerlah pada saingan berkenaan.
Semalam, Malaysia tewas 1-3 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan C sekali gus gagal ke separuh akhir selepas mengakhiri saingan di tempat ketiga dalam peringkat kumpulan dengan tiga mata.
Hanya tiga juara kumpulan dan naib juara terbaik meraih slot ke separuh akhir.
Australia muncul juara Kumpulan C walaupun berkongsi tujuh mata dengan Thailand dengan kelebihan jaringan manakala Timor Leste di tempat tercorot tanpa sebarang mata.
Malaysia bermula dengan baik di Surakarta apabila menewaskan Timor Leste 5-0, sebelum tumpan 0-2 kepada Australia.
Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2019 yang menyaksikan mereka muncul juara dengan menang tipis terhadap Thailand 2-1.
Bagi kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama tuan rumah, Laos diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lubnan.
Sepuluh juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 20 April tahun depan di Arab Saudi.
-- BERNAMA