Christopher dilantik Pengurus Media Piala Dunia B-17

Bernama
November 3, 2023 16:56 MYT
Christopher berkata beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan operasi media berjalan lancar bermula 5 Nov sehingga final di Stadium Manahan Solo (Surakarta) di Jawa tengah nanti. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj dilantik Pengurus Media pada Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2023, dijadual berlangsung di Indonesia dari 10 Nov hingga 2 Dis.
Pelantikan itu menjadikan Christopher rakyat Malaysia kedua akan bertugas di pusingan akhir Piala Dunia itu selepas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsour Paul, yang pernah terlibat dalam Piala Dunia 2006 di Jerman.
Christopher dalam kenyataan hari ini berkata beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan operasi media berjalan lancar bermula 5 Nov sehingga final di Stadium Manahan Solo (Surakarta) di Jawa tengah, satu daripada empat venue Piala Dunia B-17 itu.
Sebanyak 14 perlawanan akan diadakan di Stadium Manahan termasuk perlawanan akhir yang dijadual pada 2 Dis.
Tiga lagi venue yang akan menyaksikan kehebatan dan bakat pemain remaja adalah Stadium Gelora Bung Tomo di Surabaya, Jakarta International Stadium dan Stadium Si Jalak Harupat di Bandung.
Christopher, yang juga Ahli Jawatankuasa Media AFC, sebelum ini pernah bertugas pada kejohanan antarabangsa seperti Piala Dunia Rusia 2018, Piala Dunia Qatar 2022, Piala Dunia B-17 India 2017 dan Piala Emas CONCACAF Amerika 2019.
-- BERNAMA
#Christopher Raj #Piala Dunia Bawah 17 Tahun #Pengurus Media #FAM #rakyat Malaysia
;