Choong Hann lega Terbuka India ditangguh

Astro Arena
April 21, 2021 09:13 MYT
CHOONG HANN: Terdapat perkara yang merugikan namun ada juga yang positif bagi kami. - Gambar fail
'KEPUTUSAN yang melegakan', itu perkongsian Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, bersama wartawan Haliza Hamzah, ekoran penangguhan saingan Terbuka India disebabkan penularan wabak COVID-19.
Gembira dengan penundaan itu, Choong Hann berasakan perhatian perlu diberi kepada Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung 25 hingga 30 Mei depan.
Meskipun keadaan tidak menentu COV-19 ketika ini melahirkan perasaan tanda tanya mengenai penganjuran dua kejohanan seterusnya, Terbuka Malaysia dan Singapura.
Choong Hann menggesa anak buahnya untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
"Terdapat perkara yang merugikan namun ada juga yang positif bagi kami. Situasi ini sukar untuk tidak diduga jadi kesihatan pemain amat penting bagi membuat persiapan menghadapi Terbuka Malaysia," kata Choong Hann.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia, beranggappan penangguhan Terbuka India yang sepatutnya berlangsung 11 hingga 16 Mei depan sebagai tidak menjejaskan peluang mereka.
Aaron yang ketika ini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia mengakui lega dengan penangguhan itu kerana wujud kerisauan kepada peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di New Delhi.
"Berdasarkan kedudukan saya terdapat kelebihan dan kami sudah bersedia untuk beraksi di sana. Namun keadaan Covid-19 yang semakin meningkat agak membimbangkan, jadi kami harus melihat dan menilai perkara yang lebih baik bagi kami," kata Aaron.
Bagi beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin, pula seperti akur perjalanan menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dilihat semakin samar.
Bagaimanapun, kesihatan menjadi keutamaannya ketika ini.
"Jika tiada COVID-19, kami akan cuba namun dalam keadaan semasa, kami harus membuat perancangan yang lebih baik, keselamatan harus dijadikan sebagai keutamaan," kata Yew Sin.
#badminton #Wong Choong Hann #COVID-19 #kesihatan #keselamatan #Terbuka Malaysia #Persatuan Badminton Malaysia #BAM #tunda #tangguh #Terbuka India #India #Aaron Chia #Ong Yew Sin #Sukan Olimpik Tokyo
;