Chong Wei utamakan sasaran peribadi
Astro Arena
November 5, 2015 23:02 MYT
November 5, 2015 23:02 MYT
Naik 171 anak tangga di ranking dunia dalam jangkamasa enam bulan, itu satu pencapaian yang berjaya dilaksanakan Datuk Lee Chong Wei.
Malah kemenangan pertama Siri Super Terbuka Perancis penting dalam mengembalikan keyakinan bekas jaguh dunia itu, yang terkini menghuni tangga ke-9 dunia.
Chong Wei tidak berselindung kegagalan di kempen Terbuka Jepun dan Korea adalah yang paling buruk dalam kariernya yang tidak pernah tewas di pusingan kelayakan.
Tetapi itu menyemarakkan semangatnya untuk bangkit pada kejohanan seterusnya dan hasilnya kejuaraan siri super pertama musim ini di Paris.
"Korea dan Jepun saya rasa ia adalah detik paling buruk bagi saya. Ramai yang mengkritik hebat saya tapi mungkin pada masa itu saya dan BAM ada sedikit masalah.
"Selepas kembali (ke Malaysia) semuanya sudah selesai dan saya lebih fokus kepada tahun ini untuk memperbaiki ranking saya," tekad atlet Pulau Pinang itu.
Setelah digantung selama lapan bulan, Chong Wei menduduki tangga ke-180 dunia dan keazaman untuk beraksi di Sukan Olimpik Rio tahun hadapan menjadi motivasinya dalam mengejar mata demi mata demi memperbaiki rankingnya.
"Sekarang saya banyak fikir untuk kejar ranking dan kelayakan ke Olimpik Rio, jadi ini lebih mencabar bagi saya.
"Mungkin lepas isu doping, saya lebih memikirkan sasaran sendiri."