Chong Wei tewas kepada pemain utama India
Bernama
Januari 4, 2016 08:13 MYT
Januari 4, 2016 08:13 MYT
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tumpas kepada pemain handalan India, K. Srikanth pada Liga Badminton Premier di Mumbai pada Ahad.
Bekas pemain nombor satu dunia itu yang mewakili Hyderabad Hunters kalah kepada Srikanth, yang berada di ranking kesembilan dunia, 12-15, 15-6 dan 7-15.
Bagaimanapun, pasukannya menang 3-2 ke atas Bengaluru Hot Guns pada kejohanan berlangsung selama dua minggu itu, yang menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.3 juta)bagi pasukan yang muncul juara.
Sementara itu, pasangan negara Hoon Thien How/Kim Wah Lim yang mewakili Bengalaru Hot Guns, juga tumpas kepada gandingan Carsten Mogensen dari Denmark dan pemain Indonesia Markis Kido.
Beregu negara itu kecundang 13-15, 15-9 dan 15-14 dalam aksi yang sengit.
Hyderabad sudahpun memenangi saingan berkenaan sebelum pertarungan antara Srikanth menentang Lee, apabila memenangi dua daripada tiga perlawanan awal.
Namun, kemenangan tersebut adalah paling sensasi bagi pemain India itu yang belum pernah menewaskan jaguh Malaysia itu dalam empat pertarungan terdahulu di peringkat antarabangsa.
Chong Wei adalah pemain menerima bayaran paling mahal pada kejohanan berkenaan apabila Hyderabad Hunters mendapatkan khidmatnya dengan bayaran AS$100,000 (kira-kira RM420,000).
Dalam pada itu, Koo dibayar oleh Bengalaru Hot Guns sebanyak AS$36,000 (kira-kira RM151,200), manakala Tan mendapat AS$30,000 (kira-kira RM126,000).
Pusingan awal kejohanan itu bermula di Mumbai semalam dan pusingan akhir ialah pada 17 Januari di New Delhi.