Chong Wei tersungkur di pusingan kedua Terbuka Denmark
Astro Arena
Oktober 16, 2015 17:25 MYT
Oktober 16, 2015 17:25 MYT
DATUK Lee Chong Wei tersingkir di pusingan kedua kejohanan Badminton Terbuka Denmark selepas tewas kepada Wei Nan dengan straight set.
Wakil dari Hong Kong yang berada di ranking ke-15 dunia itu mengambil masa 45 minit untuk mengalahkan Chong Wei dengan 21-18, 21-19.
Pada set pertama, Chong Wei dilihat tidak terdaya untuk mengejar.
Bekas pemain No.1 dunia itu cuba merapatkan jurang 6-7, namun Wei Nan mula meninggalkannya sehingga 18-11.
Chong Wei mempamerkan sedikit kebangkitan di penghujung permainan untuk meletakkan kedudukan 18-19 sebelum Wei Nan menamatkan set pertama 21-18.
Di set kedua, saingan sengit ditunjukkan kedua-dua pemain sehingga beberapa kali kedudukan terikat.
Pun begitu, Wei Nan lebih tangkas untuk sekali lagi memenangi permainan di set kedua dengan 21-19.
Ia adalah kekalahan kedua Chong Wei kepada Wu Nan selepas tewas di Terbuka Singapura September tahun lalu.
Sementara itu, pasangan beregu wanita negara Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei turut tewas kepada beregu tuan rumah dengan Christinna Pedersen dan Kamilla Rytter Juhl dengan 21-16, 21-13.