Chong Wei terkandas dalam misi buru kejuaraan ketujuh

Bernama
Julai 7, 2018 23:50 MYT
Chong Wei terpaksa akur apabila bintang muda Jepun, Kento Memota membalas dendam dengan kemenangan straight set 23-21, 21-12 dalam aksi selama 51 minit. - BERNAMA/Fail
Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei gagal dalam misinya untuk merangkul gelaran ketujuh pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas terkandas di peringkat separuh akhir di Istora Senayan di sini, malam ini.
Bekas pemain nombor satu dunia berusia 35 tahun itu terpaksa akur apabila bintang muda Jepun, Kento Memota membalas dendam dengan kemenangan straight set 23-21, 21-12 dalam aksi selama 51 minit.
Ia adalah pertembungan kedua buat kedua-dua pemain dalam tempoh enam hari selepas final Terbuka Malaysia, Ahad lalu, yang menyaksikan Chong Wei mengalahkan pemain berusia 23 tahun itu 21-17, 23-21, untuk meraih gelaran ke-12.
Momota, bekas juara edisi 2015, akan membuat perhitungan dengan pemain pilihan utama, Viktor Axelsen dari Denmark di pentas final pada Ahad.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Axelsen mengalahkan pemain pilihan ketiga, Shi Yuqi dari China, 18-21, 21-14, 21-11 untuk mara ke final kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai US$1.2 juta (RM4.84 juta).
Chong Wei, ketika ditemui, berkata Momota telah beraksi dengan baik dan agresif berbanding aksi final Terbuka Malaysia 2018.
"Lagipun saya bukan lagi berusia 26 tahun," kata Chong Wei yang mengaku agak keletihan dalam mengharungi kejohanan itu.
Biarpun kecewa, Chong Wei berkata beliau tetap bangga kerana pernah menjuarai Terbuka Indonesia sebanyak enam kali sebelum ini iaitu pada edisi 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016. -- Bernama
#badminton #indonesia open #Kento Memota #Lee Chong Wei
;