Chong Wei tepati ramalan
Astro Awani
Januari 12, 2013 21:30 MYT
Januari 12, 2013 21:30 MYT
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila melangkah ke perlawanan akhir.
Namun langkah beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terhenti selepas kecundang kepada wakil tuan rumah.
Turun berdepan Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae, Kien Keat-Boon Heong dijangka memberi tentangan hebat.
Set pertama menyaksikan saingan seimbang dipamerkan kedua-dua gandingan ini.
Namun Sung Hyun-Yong Dae lebih cemerlang dengan mencatat kemenangan 21-17.
Pilihan keenam itu kemudian meneruskan rentak cemerlang dalam set berikutnya.
Nyata Kien Keat-Boon Heong gagal mengatasi kekuatan lawan dan terpaksa tunduk dengan keputusan 21-11.
Sementara Chong Wei mencatat kemenangan “straight-set” ke atas pemain Hong Kong Wong Wing Ki.
Turun selaku pilihan utama Chong Wei menutup pertemuan itu dengan keputusan 21-11 dan 21-18 dalam tempoh 34 minit.
Chong Wei kini akan berdepan Du Pengyu dari China bagi perebutan kejuaraan pada Ahad.