Chong Wei tempah tiket ke separuh akhir Terbuka Malaysia
Bernama
Januari 18, 2013 23:01 MYT
Januari 18, 2013 23:01 MYT
Pemain nombor satu dunia Lee Chong Wei menganggap kemenangan mudah pada saingan suku akhir Kejohanan Badminton Super Series Maybank Terbuka Malaysia 2013 disebabkan kelebihan mendapat waktu
rehat selama sehari sebelum ini.
Pada saingan suku akhir hari ini, Chong Wei, 30, mudah mengalahkan pilihan kelima Hu Yun dari Hong Kong dengan keputusan 21-12 dan 21-9 dalam masa 24 minit untuk melangkah ke separuh akhir.
"Semua orang tahu saya tidak beraksi semalam selepas lawan saya, Boonsak Ponsana dari Thailand menarik diri disebabkan beliau tidak sihat....Hu Yun juga kurang memberikan saingan dalam perlawanan hari ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini.
Mengulas mengenai perlawanan separuh akhir esok menentang pilihan keenam dari Denmark, Jan O Jorgensen, Chong Wei yang memburu gelaran kesembilan kejohanan, berkata beliau perlu berwaspada dengan pemain berkenaan yang mempunyai semangat juang yang tinggi.
Pemain muda Denmark itu mara selepas menewaskan seorang lagi pemain kebangsaan, Liew Daren dengan keputusan 19-21, 21-13 dan 21-17 dalam masa 62 minit.
"Jorgensen adalah seorang pemain attacking (penyerang) yang bagus, jadi saya harus berhati-hati.
"Apa yang lebih penting kepada saya ketika ini ialah mengekalkan prestasi semasa dalam mengharungi perlawanan seterusnya," katanya.
Chong Wei memegang rekod 5-1 ke atas pemain Denmark berkenaan dalam enam pertemuan mereka sebelum ini.