Chong Wei sekat Axelsen ke separuh akhir Terbuka Malaysia

Bernama
Jun 29, 2018 23:35 MYT
Chong Wei berkata walaupun menang mudah pada perlawanan itu beliau tetap menyifatkan bukan mudah menewaskan pemain muda seperti Axelsen yang berusia 24 tahun. - Bernama
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mudah menyekat laluan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen untuk meneruskan saingan ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Malaysia 2018 di sini, malam ini.
Chong Wei kini berada dalam landasan terbaik untuk menambah koleksi kejuaraannya buat kali ke-12 setelah menewaskan pemain tinggi lampai dari Denmark itu dengan straight set 21-17, 21-9 dalam masa 46 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Arena Axiata turut meriah dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang hadir seawal 3 petang tadi bagi memberikan sokongan kepada Chong Wei.
Chong Wei berkata walaupun menang mudah pada perlawanan itu beliau tetap menyifatkan bukan mudah menewaskan pemain muda seperti Axelsen yang berusia 24 tahun.
"Memang nampak mudah, tapi sebenarnya sengit menentang Axelsen. Beliau nampak berputus asa setelah saya mendahului 11-6 pada set kedua, saya terus bermain dengan pantas untuk mendapatkan mata.
"Saya pernah kalah dengan beliau tiga kali berturut-turut (kejohanan lain) sebelum ini, Kami kaji kelemahan dan kelebihan beliau. Sebagai pemain profesional, saya perlu sentiasa memperbaiki skil dan prestasi untuk menjadi lebih kompetitif," katanya kepada pemberita.
Chong Wei, 35, berkata beliau menyedari tempoh kariernya sebagai pemain badminton semakin singkat dan beliau kini hanya mahu menikmati setiap penampilannya tanpa meletakkan sebarang tekanan pada diri sendiri.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan terus beraksi di Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020 sekiranya kondisi serta prestasinya masih kompetitif.
Menanti Chong Wei di separuh akhir esok adalah Tommy Sugiarto dari Indonesia yang menyingkirkan pemain pilihan ketiga kejohanan, Shi Yuqi dari China dalam pertarungan rubber set 13-21, 21-13, 21-13.
Ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Tommy, Chong Wei yang memegang rekod tanpa kalah kepada pemain itu memberikan reaksi terkejut dengan prestasi pencabarnya yang berjaya menewaskan pemain nombor tiga dunia dari China itu.
"Oh dia menang ke? Saya memang tidak tahu siapa menang. Okay, saya akan cuba yang terbaik untuk melawan Tommy, memang tidak pernah kalah dengan beliau tetapi di sini situasi berbeza, saya dan jurulatih akan analisis permainannya untuk persiapan esok," katanya.
Sementara itu, cabaran beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir apabila mereka disingkirkan oleh beregu pilihan keenam, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun dengan straight set 9-21, 21-17 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Turut mengalami nasib sama adalah pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei selepas tewas kepada pemain nombor satu dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan, 15-21, 15-21.
-- BERNAMA
#badminton #jaguh badminton negara #kejiohanan #Lee Chong Wei #Terbuka Malaysia #viktor axelsen
;