Chong Wei sambut anak lelaki kedua

Bernama
Julai 10, 2015 08:16 MYT
Bayi diberi nama Terrance dengan berat 3.96 kilogram, dilahirkan menerusi pembedahan di sebuah hospital swasta di sini pada Khamis.
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima suntikan semangat sebelum dijadual menyertai Grand Prix Emas Terbuka Taiwan 2015 minggu depan, selepas isterinya Datin Wong Mew Choo selamat melahirkan anak lelaki kedua pasangan itu.
Bayi diberi nama Terrance dengan berat 3.96 kilogram, dilahirkan menerusi pembedahan di sebuah hospital swasta di sini pada Khamis.
Chong Wei dan Mew Choo yang berkahwin pada 9 Nov 2012, sebelum ini dikurniakan anak lelaki diberi nama Kingston Lee yang kini berumur dua tahun.
Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 32 tahun itu dalam laman Facebook beliau, mengucapkan terima kasih kepada rakan dan peminatnya yang memberi ucapan tahniah di atas kelahiran bayi keduanya itu.
Bekas pemain nombor satu dunia itu yang baru-baru ini membantu pasukan Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2015 di Singapura, akan menyertai Terbuka Taiwan dari 14 hingga 19 Julai.
Chong Wei yang sudah meraih dua gelaran - Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada - musim ini, seterusnya dijadual beraksi pada Kejohanan Badminton Dunia 2015 di Jakarta, Indonesia dari 10 hingga 16 Ogos.
#anak kedua #badminton #Lee Chong Wei #Wong Mew Choo
;