Chong Wei rampas gelaran All England 2014

Bernama
Mac 10, 2014 08:42 MYT
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merampas gelaran juara All England 2014 selepas membenam musuh tradisinya Chen Long dari China pada final di National Indoor Arena, Birmingham, England, awal pagi ini waktu tempatan.
Pemain nombor satu dunia itu bermula garang dengan menewaskan Chen Long pada set pertama dengan 21-13. Pada set kedua Chen Long menunjukkan aksi agresif dengan memberikan tentangan sengit menerusi turutan mata yang hampir sama.
Namun ketenangan Chong Wei mengawal emosi di gelanggang serta mempelbagaikan teknik permainan membawa kejayaan dengan menyingkirkan Chen Long, 21-18 pada set kedua itu dalam masa 59 minit.
Chong Wei pernah meraih kejuaraan itu pada tahun 2010 dan 2011. Kemudian Lin Dan dari China meraih kejuaraan tersebut pada tahun 2012 dan Chen Long pada tahun 2013.
Kemenangan kali ketiga Chong Wei dalam All England itu dimeriahkan dengan sokongan padu penonton Malaysia yang berada di sana. Perlawanan itu turut bersiaran langsung di televisyen satelit.
Sementara itu, juara All England bagi beregu lelaki dimenangi gandingan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia selepas menewaskan Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dengan 21-19 dan 21-19.
Acara perseorangan wanita pula dimenangi Wang Shixian dari China yang mengenepikan rakan sepasukannya Li Xuerui dengan straight set 21-19 dan 21-18.
China turut mendominasi acara beregu wanita menerusi Wang Xiaoli-Yu Yang selepas menewaskan beregu sepasukan mereka Ma Jin-Tang Yuanting, 21-17, 18-21 dan 23-21 dalam masa sejam 21 minit.
#all england #Lee Chong Wei
;