Chong Wei, Pandelela calon pilihan pembawa bendera di Olimpik Rio
Astro Arena
Mei 31, 2016 12:26 MYT
Mei 31, 2016 12:26 MYT
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan penerjun, Pandelela Rinong sekali lagi diletakkan sebagai calon pilihan untuk tugas pembawa bendera kontingen negara ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil.
Empat tahun lalu, Chong Wei dan Pandelela turut bersaing sebagai pembawa bendera Olimpik London 2012.
Namun, akhirnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memilih Pandelela selepas mengadakan proses undian.
MOM akan bersidang Khamis ini untuk membincangkan perkara itu dengan kedua-dua atlit terbabit diletakkan sebagai pilihan.
Menurut Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, pilihan kedua-duanya merupakan pemenang pingat Sukan Olimpik dan kerana mereka turut mempamerkan aksi mantap dalam kejohanan lain.
Setakat ini, 22 atlit negara sudahpun layak secara merit.
Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapa (berbasikal), Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee (terjun).
Khairulnizamn Mohd Affendy, Nur Shazrin Latiff (perahu layar), Jonathan Wong Guanjie (menembak), Welson Sim (renang), Nauraj Singh (olahraga) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat).
Namun, masih ada beberapa sukan yang berpeluang seperti golf, renang terbuka, selain wildcard untuk olahraga dan renang.
Terbaharu, Tunku Imran menegaskan bahawa tidak akan ada halangan atlet negara yang sudah layak ke Olimpik Rio, untuk menarik diri kerana bimbangkan virus Zika yang melanda negara itu.
Beliau turut berkata atlet tersebut boleh membuat keputusan sendiri untuk menarik diri atau mengambil bahagian di temasya sukan paling besar di dunia itu yang dijadual bermula dari 5 hingga 21 Ogos depan.