Chong Wei menang gelaran hatrik pada Terbuka India

Bernama
April 7, 2014 08:22 MYT
Datuk Lee Chong Wei (kanan) selepas menundukkan Chen Long pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka India 2014. --fotoAP
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan ketiga Siri Super Terbuka India 2014 selepas mengalahkan pemain nombor dua dunia, Chen Long pada final di sini, malam Ahad.
Pemain nombor satu dunia itu sekali lagi membuktikan kehebatannya untuk mengetepikan pemain China itu dalam masa 55 minit dengan keputusan 21-13, 21-17, sekali gus mencatatkan kejuaraan ketiga tahun ini.
Sebelum ini, Chong Wei, 31, menjuarai kejohanan itu pada 2011 dan 2013.
Dalam pada itu, Chen Long, 25, gagal menebuskan kekalahan kepada Chong Wei pada final Kejohanan All-England, bulan lepas, selepas tunduk dalam straight set 21-13, 21-18.
Pada tahun ini, Chong Wei memulakan musim baharu dengan merangkul Terbuka Malaysia, Januari lepas sebelum memenangi All-England buat kali ketiga, bulan lepas.
"Saya menghadiahkan kemenangan ini kepada anak lelaki saya, Kingston Lee yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya pada 12 April ini. Saya juga berharap untuk menang Terbuka Singapura minggu depan," katanya.
Kejohanan Terbuka Singapura akan bermula Selasa depan.
Ditanya sama ada Terbuka India tahun ini merupakan kali terakhir penampilannya, beliau berkata: "Masih terlalu awal. Sekiranya semua berjalan lancar tahun ini, saya mungkin kembali tahun depan.
"Buat masa ini, demi peminat saya di India, saya akan kembali semula untuk Piala Thomas di sini dari 18 hingga 25 Mei ini," katanya.
Mengulas final malam ini, Chong Wei berpendapat Chen Long melakukan beberapa kesilapan dan tidak bermain dengan begitu baik.
Dalam pada itu, Wang Shixian dari China memenangi acara perseorangan wanita apabila mengejutkan pemain nombor satu dunia, yang juga rakan senegara, Li Xuerui 22-20, 21-19.
Gelaran acara beregu lelaki pula menjadi milik Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark apabila mengalahkan beregu China, Liu Xiaolong/Zihan Qiu 17-21, 21-15, 21-15.
Acara beregu wanita pula dimenangi oleh gandingan China Tang Yuanting/Yu Fang yang mengalahkan beregu Korea Selatan, Jung Jyun Eun/Kim Ha Na 21-10, 13-21, 21-16.
Pasangan Denmark Joachim Fischer Nielsen/Christinna Pedersen menjuarai acara beregu campuran apabila menumpaskan gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dengan keputusan 21-16, 18-21, 21-18.
#badminton #Chen Long #India Open #Lee Chong Wei
;