Chong Wei mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis

Astro Arena
Oktober 21, 2015 07:23 MYT
Chong Wei yang memburu peluang menebus kekecewaaan tewas di pusingan awal dua kejohanan terakhirnya - Terbuka Denmark dan Terbuka Korea. - Gambar Fail
Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Siri Super Terbuka Perancis manakala cabaran Chong Wei Feng berakhir di Stade Pierre de Coubertin, Paris malam tadi.
Chong Wei yang memburu peluang menebus kekecewaaan tewas di pusingan awal dua kejohanan terakhirnya - Terbuka Denmark dan Terbuka Korea - memulakan kempennya di Paris dengan menundukkan pemain tuan rumah, Brice Leverdez 21-7, 21-15.
Di pusingan kedua hari ini, Chong Wei akan menentang pemenang perlawanan antara pilihan ketujuh, Viktor Axelsen dari Denmark dan pemain Hong Kong, Wei Nan yang menewaskannya di peringkat sama Terbuka Denmark minggu lepas.
Wei Feng yang mara ke undian utama menerusi peringkat kelayakan pada Selasa, tunduk kepada pemain veteran Jepun, Sho Sasaki 18-21, 11-21.
Sementara itu, pasangan utama wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei gagal mengambil kesempatan mendahului 17-13 di set kedua selepas menang set pembukaan 21-19 sebelum tunduk 21-19, 19-21, 10-21 kepada pilihan ketiga, Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl dari Denmark.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho turut ditunjuk jalan keluar selepas tewas 14-21, 16-21 di tangan Chae Yoo Jung/Kim So Yeong dari Korea Selatan.
#badminton #cheng long #Lee Chong Wei #Lin Dan #Olimpik Rio 2016 #Terbuka Perancis
;