Chong Wei mara ke final, hampiri gelaran keenam Terbuka Jepun
Bernama
September 24, 2016 19:27 MYT
September 24, 2016 19:27 MYT
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran keenam Siri Super Terbuka Jepun 2016 selepas dengan mudah melangkah ke final di Tokyo.
Pada saingan separuh akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo hari ini, Chong Wei menempah tiket final dalam masa 42 minit selepas menyingkirkan pemain utama Jerman, Marc Zwiebler 21-14 dan 21-15.
Chong Wei, yang juga pemenang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, akan mempertahankan gelarannya apabila menentang pemain pilihan ketiga, Jan O Jorgensen pada final esok,
Pemain utama Denmark itu turut mara ke final selepas membenam pemain Korea Selatan, Son Wah Ho dalam straight set 21-14 dan 21-19 pada satu lagi saingan separuh akhir.
Sebagai rekod, Chong Wei telah menjuarai Terbuka Jepun sebanyak lima kali sebelum ini iaitu pada 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014.
Dalam pada itu, beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, bagaimanapun, gagal mara ke final pada kejohanan bernilai US$300,000 (RM1.23 juta) itu.
Pasangan negara itu tewas kepada beregu pilihan utama, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na dari Korea Selatan 21-14 dan 21-18 pada perlawanan separuh akhir.
Gandingan Korea itu akan menentang pasangan pilihan ketujuh, Zheng Siwei/Chen Qingchen selepas pasangan China itu mengejut pasangan senegara dan pilihan keenam, Lu Kai/Huang Yaqiong 21-11 dan 21-19 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.