Chong Wei lega Malaysia layak ke Piala Thomas
Astro Arena
Februari 10, 2018 08:17 MYT
Februari 10, 2018 08:17 MYT
SKUAD lelaki negara menutup mulut pengkritik apabila mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas menerusi kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, hari ini.
Tidak ada apa yang boleh menghalang Malaysia daripada mengelak aib di laman sendiri sekalipun Datuk Lee Chong Wei dicabar hebat Angus Ng Ka Long.
Set pertama menyaksikan Chong Wei bijak mengatur strategi untuk menang 21-15 tetapi jaguh kebangsaan itu mula diasak dalam set berikutnya.
Chong Wei kemudian berjaya mengelak sebarang keresahan ketika kedudukan terikat 20-20 apabila melakar kemenangan 22-20.
"Kami mempunyai semangat yang tinggi. Tidak kisah pemain beregu menang atau kalah. Kami kalah kepada Thailand 3-2 tetapi kami mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria).
"Ia belum berakhir, ini peringkat kumpulan. Kami menang ke atas Taiwan dan tidak sangka boleh menewaskan Taiwan 5-0 semalam.
"Kami akan meningkatkan prestasi dan saya harap semangat ini dapat dibawa ke Piala Thomas di Bangkok nanti," kata Chong Wei.
Pertemuan beregu lelaki pula lebih bersifat keperluan untuk mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan mudah.
Pasangan lawan, Or Chin Chung-Tang Chun Man, sebelum ini pernah membuatkan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem berputih mata dalam Siri Super Terbuka Malaysia pada musim lalu.
Bagaimanapun, beregu negara itu memastikan mata kedua milik Malaysia dengan kemenangan 21-11, 21-16.
Terus mencuri tumpuan adalah pemain perseorangan kedua, Lee Zii Jia, yang memastikan kemenangan mutlak negara.
Zii Jia, yang berada di kedudukan ke-47 dunia, turun menentang pemain ranking ke-14 dunia, Vincent Wong Wing Ki.
Tetapi perbezaan jurang ranking tidak mencerminkan kualiti yang dipamerkan Zii Jia sepanjang 40 minit saingan apabila meraih kemenangan 21-16, 21-15 untuk mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir dan menempah tiket ke Bangkok pada Mei ini.
"Saya rasa bangga dapat menghadiahkan mata ketiga dan berjaya membantu Malaysia ke separuh akhir. Datuk Norza beritahu saya sebelum ini, jangan takut bermain. beraksi dengan apa yang ada," kata Zii Jia.
Malaysia seterusnya akan berdepan kuasa besar badminton dunia, China, dalam separuh akhir esok.
#badminton
#China
#Indonesia
#Kejohanan Berpasukan Asia
#Korea Selatan
#Malaysia
#stadium sultan abdul halim