Chong Wei ketuai cabaran Malaysia di Terbuka Indonesia 2018
Bernama
Julai 2, 2018 05:15 MYT
Julai 2, 2018 05:15 MYT
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tidak mustahil untuk terus melakar kejayaan luar biasa selepas muncul pemain paling banyak merangkul kejuaraan pada Terbuka Indonesia, yang akan membuka tirai edisi kali ini, hari ini.
Chong Wei pernah meraih gelaran Terbuka Indonesia pada 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016.
Juara Terbuka Malaysia 2018 itu pada Ahad, yang diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan di sini, dilihat mempunyai laluan mudah sebelum dijangka berdepan pemain meningkat naik dari Jepun, Kento Momota pada peringkat separuh akhir.
Pada pusingan pertama, Chong Wei, 36, yang kini menduduki ranking keenam dunia akan berdepan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong sebelum mengharungi pusingan kedua bertemu sama ada pemain di ranking ke-12 Kenta Nisihimoto dari Jepun atau Anders Antonsen dari Denmark yang kini berada di kedudukan ke-16 dunia.
Jika berjaya melepasi halangan Momota pada peringkat separuh akhir, kemungkinan besar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan bertemu pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark di final.
Bagi Momota yang kini menduduki ranking ke-11 dunia, beliau dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengatasi juara bertahan dari India, K.Srikanth yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan pada pusingan pertama.
Pemain berusia 23 tahun itu yang merupakan naib juara Terbuka Malaysia 2018, dijangka tidak tercabar pada pusingan kedua berdepan pemain tuan rumah Anthony Ginting sebelum bertemu sama ada pemain Taiwan Chou Tien Chen atau Tommy Sugiarto dari Indonesia di suku akhir.
Pada kejohanan Terbuka Indonesia kali ini, tiada wakil perseorangan wanita negara disenaraikan.
Dalam acara beregu pula, pasangan utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dijangka berdepan saingan sengit pada pusingan pertama menentang gandingan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang diletakkan selaku pilihan kelapan kejohanan.
Laluan satu lagi gandingan negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut sukar apabila bertemu beregu Indonesia Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso pada pusingan pertama.
Bagi acara beregu wanita, gandingan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang kini merupakan sandaran utama negara dilihat mudah ke pusingan kedua apabila berdepan pemain tuan rumah Keshya Nurvita Hanadia-Devi Tika Permatasari, dan dijangka berdepan laluan sukar di pusingan kedua bertemu pasangan China Chen Qingchen-Jia Yifan.
Sekiranya mempamerkan aksi konsisten, gandingan kedua negara Vivian Hoo yang dipasangkan dengan Yap Cheng Wen tidak berdepan halangan besar untuk mengatasi pasangan tuan rumah Yulfira Barkah-Nitya Krishinda Maheswari untuk bertemu pilihan kedua dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota.
Sementara itu, dalam acara beregu campuran akan menyaksikan pertembungan dua pasangan negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie pada pusingan pertama, manakala gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan berdepan pasangan di ranking ketiga dunia Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia.
Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.2 juta.
-- BERNAMA