Chong Wei ke separuh akhir Terbuka Australia

Bernama
April 5, 2013 20:51 MYT
Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila dengan mudah melangkah ke separuh akhir Kejohanan Terbuka Australia di Sydney, hari ini.
Pada perlawanan suku akhir, pemain nombor satu dunia itu tidak menghadapi masalah untuk memburu gelaran tersebut apabila menyingkirkan pemain tidak ternama, Qiao Bin dari China dengan keputusan 21-11, 21-8 dalam masa 32 minit.
Chong Wei dijadual menentang Tian Hou Wei pada separuh akhir esok selepas pemain China itu menyekat kemaraan seorang lagi pemain peseorangan negara Chong Wei Feng dengan keputusan 21-18, 21-13 pada saingan suku akhir.
Bagaimanapun, sentuhan pasangan emas negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, selaku pilihan utama, tidak menjadi apabila tersingkir di suku akhir.
Beregu utama negara itu kalah kepada beregu pilihan kelima, Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan dari Indonesia 21-18, 21-15 dalam pertarungan selama 33 minit.
Dalam pada itu, beregu lelaki Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari melangkah ke separuh akhir dengan mudah apabila beregu Gan Teik Chai/Ong Soon Hock menarik diri sebelum bermula set kedua.
Mohd Zakry/Mohd Fairuzizuan menang set pertama dengan 21-15.
Beregu tunggal negara itu akan menentang Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan pada perlawanan separuh akhir.
Beregu wanita negara Vivian Hoo/Woon Khe Wei gagal mara ke separuh akhir setelah kecundang di tangan Aprilsasi Putri Lejarsar Variella/Vita Marissa dari Indonesia, 11-21, 19-21.
Turut mengalami nasib sama ialah beregu campuran negara, Tan Aik Quan/Lai Pei Jing yang kalah kepada gandingan China, Huang Kaixiang/Chen Qingchen dengan keputusan 15-21, 14-21.
#badminton #Lee Chong Wei #Terbuka Australia
;