Chong Wei jumpa Lin Dan di separuh akhir

Bernama
April 28, 2017 13:33 MYT
Chong Wei adalah satu-satu wakil negara yang meneruskan cabaran di kejohanan ini selepas dua lagi wakil tewas kepada lawan masing-masing. -Gambar fail
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan membuat perhitungan dengan musuh tradisinya, Lin Dan dari China di separuh akhir selepas masing-masing melepasi halangan suku akhir mereka di Kejohanan Asia di Wuhan, China hari ini.
Chong Wei yang juga juara bertahan, mengetepikan cabaran Hsu Jen Hao dari Taiwan 21-18, 21-13 manakala Lin Dan menewaskan seorang lagi pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-14, 21-12 di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.
Sebagai rekod, kedua-dua pemain ini telah bertemu 38 kali dengan yang terbaru di final Terbuka Malaysia awal bulan ini yang menyaksikan pemain China itu menang 21-19, 21-14.
Chong Wei adalah satu-satu wakil negara yang meneruskan cabaran di kejohanan ini selepas dua lagi wakil tewas kepada lawan masing-masing.
Pilihan keenam beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas 11-21, 19-21 kepada pilihan ketiga, Lu Kai-Huang Yaqiong dari China manakala Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei tunduk kepada pilihan utama beregu wanita, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi dari Jepun 16-21, 10-21.
Cabaran negara dalam acara beregu lelaki dan perseorangan wanita berakhir di pusingan awal lagi.
-- BERNAMA
#badminton #Datuk Lee Chong Wei #kejohanan asia #Lin Dan