Chong Wei idam kejuaraan dunia sebelum gantung raket
Bernama
Januari 8, 2017 08:24 MYT
Januari 8, 2017 08:24 MYT
Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei idam untuk menjuarai Kejuaraan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland Ogos depan sebelum bersara.
Jaguh badminton negara itu berkata tahun 2017 merupakan tahun terakhir buatnya merealisasikan impian menjuarai kejohanan berkenaan yang belum pernah dimenanginya.
"Fokus saya pada tahun 2017 ini adalah untuk memenangi 'Kejuaraan Dunia' sebelum saya menggantung raket buat selamanya.
Semangat saya tidak pernah luntur dan itu menjadi kunci utama untuk saya mengejar impian tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan SS Purple League yang menyaksikan Chong Wei beraksi di dalam kategori beregu campuran bergandingan bersama pemain China, Zhao Yunlei pada Sabtu.
Mewakili Petaling BC, pasangan berkenaan tidak menghampakan penonton yang hadir setelah mudah menewaskan pasukan Ampang Jaya BC yang diwakili Tan Wei Han/Terry Hee Yong dengan keputusan 11-6,11-8, 11-4.
Dalam pada itu, Chong Wei berkata beliau hanya akan menyertai beberapa kejohanan yang menjadi tumpuan sahaja pada tahun ini antaranya Terbuka England, Piala Sudirman dan Terbuka Malaysia.
"Terbuka Indonesia juga menjadi sasaran saya pada tahun ini kerana pada edisi sebelum ini amat susah untuk saya memenanginya.
Saya sudah menang enam kali dalam kejohanan itu dan Taufiq Hidayat juga memenangi enam. Sasaran saya untuk pecahkan rekod berkenaan," katanya.
Untuk rekod, Chong Wei sekadar menjadi tiga kali naib juara dalam Kejohanan Dunia iaitu pada tahun 2011 dan 2013, tewas di tangan Lin Dan dan terbaharu pada 2015, beliau tewas kepada Chen Long dari China.
-- BERNAMA