Chong Wei harap dapat bekerjasama dengan Lin Dan
Bernama
Julai 4, 2020 17:50 MYT
Julai 4, 2020 17:50 MYT
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap dapat bekerjasama dengan juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China, yang mengumumkan persaraan hari ini, untuk mempromosikan sukan badminton di serata dunia.
Mengharapkan yang terbaik buat 'musuh tradisinya' itu, Chong Wei menyifatkan sudah tiba masa untuk Lin Dan berehat setelah sekian lama menabur bakti kepada negaranya.
Lin Dan, 37, mengumumkan persaraannya hari ini melalui laman sosial Weibo selepas 20 tahun bersama pasukan kebangsaan China.
"Atlet sampai masa memang perlu bersara, sudah cukup 20 tahun dengan pasukan negara. Beliau sudah menang macam-macam untuk negara. Memang ia bukan satu keputChusan (bersara) yang mudah untuk dibuat.
"Apa pun, saya ucap selamat maju jaya untuk masa depan dan saya harap selepas ini mungkin kami berdua boleh promosi sukan badminton ke seluruh dunia," katanya kepada Bernama, hari ini.
Selain emas Olimpik, Lin Dan juga memenangi gelaran juara dunia sebanyak lima kali bermula 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.
Dalam pada itu, Chong Wei turut menitipkan kata-kata sempena persaraan legenda badminton itu, serta memuat naik gambar kenangan mereka berdua dalam laman sosial Twitter dan Facebooknya.
"Kami tahu hari seperti ini akan tiba, saat yang berat dalam kehidupan kita. Anda melabuhkan tirai dengan anggun. Anda seorang raja di mana kita bersaing dengan begitu bangga sekali, semuanya ghaib dengan lambaian terakhir di sebalik tangisan yang sepi," demikian lakaran Chong Wei dalam laman sosialnya.
'Perseteruan' di gelanggang antara Chong Wei dan Lin Dan bermula pada 22 Feb 2004 ketika final Piala Thomas apabila Chong Wei tewas kepada musuhnya itu.
Mereka kemudian bertemu buat kali kedua dalam Terbuka Malaysia pada 2005 dengan Chong Wei berjaya membalas dendam selepas menewaskan Lin Dan.
Chong Wei dan Lin Dan bertemu sesama sendiri sebanyak 40 kali dengan kelebihan diraih lawannya itu dengan rekod 28-12.
Aksi final Sukan Olimpik Beijing (2008) dan London (2012) adalah antara saat yang sentiasa dikenang kedua-dua pemain berkenaan.
Ketika Chong Wei mengumumkan persaraan pada 13 Jun tahun lalu, Lin Dan juga sempat memuat naik status di Weibo, bahawa beliau akan berasa kesunyian selepas ini tanpa Chong Wei.
#badminton
#Beijing
#China
#Chong Wei
#laman sosial
#Lee Chong Wei
#Lin Dan
#London
#Malaysia
#Olimpik
#sukan
#Twitter