Chong Wei hanya selangkah rangkul gelaran ketujuh Terbuka Jepun

Bernama
September 23, 2017 21:43 MYT
Chong Wei menjuarai gelaran Terbuka Jepun sebanyak enam kali iaitu bermula pada tahun 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016. - Gambar fail
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah untuk meraih kejuaraan ketujuh Terbuka Jepun selepas dengan bergaya melangkah ke pentasi final di Gimnasium Tokyo Metropolitan di Tokyo, hari ini.
Chong Wei, 35, selaku juara bertahan dan pemain pilihan kelima, hanya mengambil masa 39 minit untuk menempah tiket final selepas mengetepikan pilihan kedua, Shi Yuqi dari China 21-19, 21-18 dalam saingan separuh akhir.
Bagaimanapun, Chong Wei, bakal berdepan dengan tugas getir pada aksi final esok apabila bertemu juara baharu dunia, Viktor Axelsen selepas pemain muda dari Denmark itu mengejutkan pemain nombor satu dunia, Son Wan Ho dari Korea Selatan, 21-16, 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Untuk rekod, Chong Wei menjuarai gelaran Terbuka Jepun sebanyak enam kali iaitu bermula pada tahun 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016.
Chong Wei dan Axelson, 23, pernah bertemu sebanyak 10 kali dengan sembilan perlawanan dimenangi oleh Chong Wei dan kemenangan sulung pemain Denmark itu adalah pada pertemuan terakhir pada pusingan akhir Sir Super Dunia di Dubai pada Disember tahun lepas.
Sementara itu di Singapura, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei gagal merangkul gelaran antarabangsa pertama musim ini apabila tewas secara mengejut kepada 21-13, 10-21, 21-19 kepada pemain Indonesia, Ruselli Hartawan pada final siri antarabangsa Terbuka Singapura.
-- BERNAMA
#badminton #China #goh jin wei #Lee Chong Wei #Shi Yuqi #Terbuka Jepun #viktor axelsen
;