Chong Wei hampiri gelaran hatrik All England
Bernama
Mac 9, 2013 00:03 MYT
Mac 9, 2013 00:03 MYT
Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran hatrik Kejohanan All England apabila mara ke final selepas mengalahkan pemain Thailand pada separuh akhir di Birmingham,
England, hari ini.
Chong Wei, pemain nombor satu dunia, bagaimanapun menghadapi tentangan sengit pada set pertama daripada Tanongsak Saensomboonsuk sebelum menang dengan keputusan 22-20, 21-8.
Chong Wei, 31, yang menjuarai kejohanan itu pada 2010 dan 2011, akan berdepan dengan pemenang satu lagi pertarungan separuh akhir antara Cheng Long dari China dan pemain Denmark Jan O Jorgensen.
Pada 2010, Chong Wei meraih gelaran pertama kejohanan berprestij itu dengan menundukkan pemain Jepun Kenichi Tago 21-19, 21-19 dan tahun berikutnya berjaya mempertahankan gelaran dengan mengatasi Lin Dan dari China dengan keputusan 21-17, 21-17.