Chong Wei fokus untuk final Terbuka Malaysia

Syamil Izwan Azizan
Januari 19, 2013 00:30 MYT
Pemain perseorangan badminton utama negara Lee Chong Wei tidak mahu terlalu memikirkan kejuaraan kesembilan Siri Super Terbuka Malaysia menjelang aksi final pada Ahad.
Sebaliknya beliau lebih fokus kepada peningkatan lawan yang bakal dihadapinya iaitu Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia.
Menurut Chong Wei, Sony mempamer banyak peningkatan sejak pulih dari kecederaan baru-baru ini.
Sony melakar kejutan dengan menewaskan pilihan kedua Kenichi Tago untuk menempah tempat di perlawanan akhir.
"Saya sudah lama tidak bertemu Sony. Dia mempamerkan peningkatan selepas pulih dari kecederaan tetapi saya ingin memberi tumpuan ke atas permainan sendiri dan juga corak permainan lawan," kata Chong Wei.
"Saya sempat melihat aksinya menentang Kenichi Tago dan ianya amat sengit," jelas Chong Wei selepas pertarungan tiga set dalam satu lagi aksi separuh akhir menentang pemain Denmark Jan O Jorgensen.
Chong Wei menang 21-13,17-21, 21-12 dalam perlawanan tersebut.
Andai mampu mengekalkan rentak, Chong Wei bakal memperoleh gelaran keduanya tahun ini selepas menjuarai Terbuka Korea minggu lalu.
Sementara itu, Jorgensen berpuas hati dengan prestasi keseluruhannya dalam saingan Terbuka Malaysia kali ini.
Lantas dia mahu menggunakan pengalaman ini bagi meningkatkan lagi rentak permainan, sambil mengakui masih sukar untuk mengekalkan tahap tertinggi berdepan pemain utama seperti Chong Wei.
#Kenichi Tago #Lee Chong Wei #Sony Dwi Kuncoro #Terbuka Malaysia
;