Chong Wei dan Pandelela dicalon Olahragawan dan Olahragawati 2012

Bernama
April 2, 2013 21:31 MYT
Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dan ratu terjun kebangsaan Pandelela Rinong anak Pamg adalah antara calon yang disenaraikan untuk anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara 2012.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Mohid Mohamed berkata selain dua atlet itu yang merupakan pemenang pada 2011, panel pemilihan Jawatankuasa Anugerah Sukan Negara turut menerima masing-masing enam lagi atlet untuk kedua-dua kategori anugerah tersebut.
Katanya, enam atlet lain yang dicalonkan untuk anugerah Olahragawan Negara ialah jaguh bina badan Sazali Abdul Samad; Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek (boling); Leong Tze Wai (karate); Khairul Anuar Muhamad (memanah); Yu Peng Kean (lawan pedang) dan Bryan Nickson Lomas (terjun).
Pandelela Rinong pula bakal dicabar enam atlet lain untuk anugerah Olahragawati Negara iaitu ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David; Nur Suryani Mohamed Taibi (menembak); Esther Cheah (boling); Chai Fong Ying (wushu); Fatehah Mustapa (berbasikal) dan Quzandria Nur Muhamad Fathil (ekuestrian).
"Pemilihan bagi calon olahragawan dan olahragawati satu perkara yang mencabar bagi kita memandangkan 14 atlet berkenaan telah membuktikan kejayaan mereka di peringkat antarabangsa, dan ada di antara mereka mencapai kejayaan yang lebih kurang sama," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, hari ini.
Jawatankuasa itu dianggotai 18 individu terdiri daripada wakil Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) serta wakil media.
Mohid berkata selain dua anugerah utama itu, anugerah bagi sembilan kategori lain akan diberi kepada individu dan persatuan sukan yang membantu mengharumkan nama negara di arena sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang 2012.
Sembilan kategori itu merangkumi pasukan lelaki dan wanita kebangsaan, olahragawan dan olahragawati paralimpik kebangsaan, jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong, yang menganggotai panel jawatankuasa berkenaan, berkata pemilihan atlet-atlet untuk anugerah sukan berprestij negara itu turut merangkumi sukan-sukan yang tidak dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik seperti skuasy, boling dan bina badan.
"Kriteria seperti keperibadian atlet, sifat kepimpinan, disiplin serta semangat atlet ketika beraksi di peringkat antarabangsa turut diambil kira oleh panel pemilihan bagi menentukan mereka yang benar-benar layak untuk menerima anugerah itu," katanya.
Pemenang anugerah Olahragawan dan Olahragawati Negara 2012 akan menerima wang tunai RM20,000 dan sebuah trofi pada satu majlis yang dijadual berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya pada 16 April ini.
#Lee Chong Wei #Olahragawan #Pandelela
;