Chong Wei bertemu Lin Dan dalam separuh akhir BAC

Bernama
April 29, 2016 22:17 MYT
Ini adalah pertembungan pertama Chong Wei dan Lin Dan tahun ini selepas kali terakhir mereka bertemu pada separuh akhir Terbuka China pada 14 November tahun lepas. - Gambar fail
UJIAN kemampuan pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei dalam buruan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Ogos nanti, bakal disaksikan dalam Kejohanan Badminton Asia 2016 (BAC), esok.
Jaguh negara itu bakal berdepan musuh ketatnya, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir BAC di Wuhan, China, selepas masing-masing mengetepikan halangan suku akhir mereka hari ini.
Pemain berusia 32 tahun dari Pulau Pinang itu menempah tiket ke separuh akhir selepas mengambil masa 49 minit untuk menundukkan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-16, 21-18 hari ini.
Terdahulu, Lin Dan menempah tempat di separuh akhir dengan mengalahkan Lee Dong Keun dari Korea Selatan 21-15, 21-11 dalam tempoh 42 minit.
Rekod pertemuan Chong Wei-Lin Dan memihak kepada pemain nombor tiga dunia dari China itu dengan 25 kemenangan berbanding Chong Wei hanya 10 kali.
Ini adalah pertembungan pertama kedua-dua pemain tahun ini selepas kali terakhir mereka bertemu pada separuh akhir Terbuka China pada 14 Nov tahun lepas di mana Chong Wei melakar kejutan menewaskan Lin Dan di laman lawan itu.
Hasrat pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu untuk membuat perhitungan dengan Chong Wei pada Terbuka Malaysia baru-baru ini tidak kesampaian selepas tewas kepada Jan Jorgensen dari Denmark di suku akhir.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki esok menyaksikan pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China bertemu rakan senegara, Tian Houwei.
Chen Long melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan Tommy Sugiarto dari Indonesia dengan straight set 21-16, 21-14 dalam masa 50 minit, manakala Tian Houwei terpaksa berhempas-pulas menewaskan Tzu Wei Wang dari Taiwan 21-15, 19-21, 21-16 dalam pertemuan selama 66 minit.
#BAC #badminton #jaguh badmintion negara #kejohanan badminton asia #Lee Chong Wei #Lin Dan
;