Chong Wei berbesar hati sertai Hall of Fame BWF
Afiezy Azaman
Mei 3, 2023 12:05 MYT
Mei 3, 2023 12:05 MYT
KUALA LUMPUR: “Tanpa jurulatih, rakan sepasukan, keluarga serta lawan, saya tidak akan dapat mencapai ini."
Itu suara hati legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai reaksi pemilihannya selepas dipilih dalam Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dipilih dalam Hall of Fame BWF bersama 'musuh' tradisinya dari China, Lin Dan, menjadikan perkara itu lebih istimewa.
"Semasa saya masih kecil di Pulau Pinang, saya telah mencuba segala cara untuk dapat bermain di dewan badminton yang betul dan kini kita bercakap tentang Hall of Fame.
"Sejak jatuh cinta dengan permainan ini, apa yang saya mahu lakukan ialah bermain permainan ini dengan sebaik mungkin, menikmati adrenalin, mewakili negara saya, memenangi pingat untuk mereka dan menghasilkan perlawanan badminton yang boleh memberikan senyuman kepada setiap peminat yang menontonnya.
"Ia sangat hebat dan saya tidak pernah menyesal sepanjang dalam karier saya," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, pada Rabu.
Sehubungan itu, Chong Wei berkata, beliau berbesar hati dapat menyertai Hall of Fame BWF yang mengiktiraf bakat luar biasa yang pernah menyerikan arena badminton pada masa lalu.
Pada Selasa, BWF dalam kenyataan memaklumkan, Chong Wei dan Lin Dan merupakan pemain perseorangan lelaki paling dominan ketika era kegemilangan mereka dan dipilih dalam senarai pemain luar biasa badan induk dunia itu.
Majlis pemasyhuran itu dijadualkan pada 26 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Chong Wei, 41 dan Lin Dan, 40, yang memulakan kerjaya mereka di peringkat antarabangsa pada awal 2000, menempa nama dalam sukan badminton sehingga masing-masing memutuskan untuk bersara pada 2019 dan 2020.
Chong Wei yang bersara akibat masalah kesihatan kanser hidung dialaminya telah meraih 47 gelaran Siri Super/Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.
Anak jati kelahiran Pulau Pinang itu merupakan pemain badminton Malaysia paling berjaya dengan merekodkan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015.
Sementara Lin Dan yang tiada tandingan pada penyertaan di kejohanan utama dengan dua gelaran jaguh Olimpik dan lima kejohanan dunia.