Chong Wei akui terima tawaran luar negara, belum berhasrat jadi jurulatih
Madiha Abdullah
April 7, 2022 23:59 MYT
April 7, 2022 23:59 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memaklumkan beliau belum berminat untuk menjadi jurulatih walaupun menerima banyak tawaran dari luar negara.
Dalam kemas kini di media sosial, Chong Wei berkata, buat masa ini beliau memilih untuk tidak meninggalkan negara.
"Memang benar saya dapat tawaran, sudah pasti saya masih cinta terhadap sukan badminton, tetapi buat masa sekarang saya tidak berniat untuk menjadi jurulatih.
"Saya akan terus lepak di Malaysia, layan bazar Ramadan dan tunggu jemputan open house raya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Chong Wei menerima beberapa tawaran luar bagi melatih skuad badminton negara terbabit.
Bagaimanapun, bekas pemain nombor satu dunia itu enggan mendedahkan negara mana yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.