Chong Wei akui terguris kemelut melanda BAM-Misbun

Astro Arena
Ogos 2, 2023 06:45 MYT
Chong Wei mendedahkan hatinya jelas terguris dengan kemelut yang melanda dua entiti itu, yang bertanggungjawab menjadikannya sebagai ikon Badminton dunia. - Foto fail/BERNAMA
LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mengakui terguris dengan kemelut yang melanda bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Misbun, dalam satu sidang media di ibu negara pada Isnin, menafikan bahawa dia meninggalkan jawatan Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) atas dasar persetujuan bersama dengan BAM, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai apa sebenarnya yang berlaku di antara kedua-dua pihak itu.
Selain itu, Misbun turut meluahkan rasa terkilannya kerana keputusan berkenaan hanya dimaklumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, dan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Norza dalam satu sidang media di ABM pada Rabu, mengakui kemelut berkenaan mungkin disebabkan oleh salah faham yang berlaku di antara pihaknya dan Misbun, di mana BAM bersedia untuk menawarkan jurulatih itu kembali berkhidmat sehingga kontraknya tamat atau isu berkenaan boleh dibawa ke meja rundingan untuk diselesaikan secara baik.
Bekas pemain nombor satu dunia, Chong Wei, mendedahkan hatinya jelas terguris dengan kemelut yang melanda dua entiti itu, yang bertanggungjawab menjadikannya sebagai ikon Badminton dunia.
"Saya mengakui apa yang Tan Sri (Norza) cakap, sewaktu dia bawa Datuk Misbun (ke dalam BAM), kami tidak mempunyai banyak penaja dan Tan Sri sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaannya," katanya dalam sidang media itu.
"Dengan itu barulah masa depan saya ada dan saya boleh katakan yang keputusan Tan Sri itu adalah untuk kebaikan badminton negara, untuk menghasilkan bukan sahaja Lee Chong Wei kedua tetapi mungkin lima atau enam orang lagi.
"Saya menjadi saksi Tan Sri (menawarkan kontrak) di rumahnya (Misbun) dan atas dasar itu, saya berada di sini dalam sidang media ini.
"Akan tetapi, mengenai tawaran yang diberikan Tan Sri itu perlu diberikan kepada Datuk Misbun untuk membuat keputusan.
"Isu ini memang agak mengguriskan hati saya kerana badminton sentiasa ada dalam darah saya dan saya pernah 19 tahun dalam BAM - tiada orang lain lebih lama daripada saya.
"Bagi saya, BAM sentiasa melakukan yang terbaik buat atlet dan jurulatih kita," katanya. - Stadium Astro
#Lee Chong Wei #BAM #Misbun Sidek #Mohamad Norza Zakaria
;