China setuju anjur Kejohanan Sepak Takraw Asia 2023, Jun ini
Bernama
Mac 20, 2023 04:20 MYT
Mac 20, 2023 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: China bersetuju untuk menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Asia 2023 pada 19 hingga 24 Jun ini sebagai persediaan kepada penganjuran temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, September ini.
Presiden Persatuan Sepaktakraw China, He Fengxiang, berkata kejohanan pra-Sukan Asia ke-19 itu diadakan bertujuan untuk menguji persediaan negara itu selain mengenal pasti aspek penambaikan yang boleh dilaksanakan sebelum temasya empat tahun sekali itu membuka tirai pada September ini.
"Acara ini memberi peluang kepada kami untuk menilai dan meningkatkan aspek bukan teknikal kejohanan, termasuk keselamatan, pengurusan sukarelawan, acara kebudayaan, pengalaman atlet serta penonton dan penyiaran serta media.
"Dengan mengadakan acara peringkat tinggi, kami boleh mengenal pasti dan menangani sebarang isu yang mungkin timbul selain memastikan bersedia sepenuhnya untuk Sukan Asia Hangzhou 2022," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sukan Asia Hangzhou 2022 sebelum ini ditunda akibat pandemik COVID-19 di China seperti yang diumumkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA).
Fengxiang berkata pihaknya memahami kepentingan memastikan Sukan Asia Hangzhou 2022 dianjurkan dengan tahap kecekapan tertinggi, bukan sahaja melibatkan aspek teknikal tetapi juga dalam aspek bukan teknikal.
"Persatuan Sepaktakraw China komited untuk menyelaras dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou, menganjurkan acara yang berjaya memenuhi piawaian Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).
"Selain itu, dengan Sukan Asia Hangzhou 2022 semakin hampir, kami menyedari keperluan mendesak untuk memuktamadkan semua persiapan dan memastikan semua aspek kejohanan diuji dengan teliti," katanya.
-- BERNAMA