China sajikan pertunjukan bunga api digital yang hebat pada pembukaan Sukan Asia Hangzhou

Bernama
September 23, 2023 22:35 MYT
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dirasmikan Presiden China Xi JinpIng, setahun selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, juga mencatat sejarah sebagai Sukan Asia dengan penyertaan terbesar. - Reuters
HANGZHOU: China menyajikan persembahan yang hebat dalam acara perasmian Sukan Asia Ke-19 di sini yang memukau para atlet dan penonton dengan pertunjukan kebudayaan dan cahaya yang unik di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou di sini malam ini.
Pada acara pembukaan malam ini persembahan bunga api tradisional digantikan dengan persembahan bunga api digital dengan animasi dan peralatan tiga dimensi seiring dengan ikrar Sukan Asia Hangzhou 2022 untuk menjadi Sukan Asia pertama yang neutral karbon dan menggunakan tenaga hijau.
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dirasmikan Presiden China Xi JinpIng, setahun selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, juga mencatat sejarah sebagai Sukan Asia dengan penyertaan terbesar iaitu 11,831 atlet dari 45 negara, lebih daripada 11,000 atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kira-kira 10,500 atlet untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
China memukau penonton di dalam stadium dan mereka yang menyaksikannya di skrin dari pelbagai pelosok dunia dengan persembahan bertenaga bertema "Peningkatan Arus Dalam Asia" menampilkan Sungai Qiantang dan gunung-ganang menghijau, yang merupakan mercu tanda bagi bandar raya tuan rumah.
Acara pembukaan bermula dengan persembahan dinamakan "Water in Autumn Glow" bersempena waktu temasya sukan benua itu dirasmikan, iaitu pada Qiufen, Ekuinoks Musim Bunga di China yang jatuh pada hari ini.
Perbarisan 45 negara yang bertanding dalam temasya sukan benua itu bermula selepas bendera negara tuan rumah dibawa masuk dan lagu kebangsaan Negara Tembok Besar itu berkumandang dengan kontinjen Afghanistan yang pertama masuk ke dalam stadium menurut turutan abjad sementara perbarisan masuk Kontinjen China menerima sorakan gemuruh daripada penonton.
Kontinjen Malaysia yang menyertai temasya sukan itu buat kali ke-18 berturut-turut , memasuki stadium sebagai Kontinjen ke-22 diketuai Chef-de-Mission Datuk Chong Kim Fatt dan bendera Jalur Gemilang yang diarak bersama oleh gandingan pelumba berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pemain skuasy S.Sivasangari.
Sebaik sahaja kontinjen negara terdiri daripada 50 atlet dan pegawai yang nampak bergaya dengan blazer berwarna biru gelap, seluar khaki dan tali leher merah yang dikenakan atlet lelaki memasuki stadium yang boleh memuatkan 80,000 orang dan diberi nama julukan Teratai Besar, mereka menerima sorakan sokongan daripada penonton.
Malaysia yang diwakili 288 atlet (188 lelaki dan 100 wanita) akan menyertai 22 daripada 40 sukan dengan sasaran 27 pingat.
Sejurus selepas Presiden Xi mengumumkan perasmian temasya sukan itu, bendera Majlis Olimpik Asia (OCA) dibawa masuk diikuti bacaan ikrar oleh atlet dan pengadil di hadapan orang kenamaan termasuk Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach dan Pemangku Presiden OCA Raja Randhir Singh.
Tarikan utama lain pada acara malam ini ialah penyalaan kawah api temasya menggunakan pembawa obor digital, terdiri daripada beratus juta peserta dalam lari berganti-ganti secara dalam talian yang menyertai pembawa obor yang berlari di dalam stadium untuk menghasilkan api yang menyalakan kawah Sukan Asia Hangzhou, yang diinspirasikan oleh ombak besar Sungai Qiantang.
Sejumlah 481 acara daripada 40 sukan di pertandingkan di 54 venue dalam Sukan Asia Ke-19, yang kebanyakannya berlangsung di Hangzhou dan lima lagi bandar raya Ningbo, Wenzhou, Huzhou, Shaoxing dan Jinhua yang menjadi tuan rumah bersama.
-- BERNAMA
#Sukan Asia #Hangzhou #China #acara pembukaan
;