Cheong Min dedah 'dipersenda' pilih beraksi di Sukan SEA
Bernama
Mei 10, 2023 18:47 MYT
Mei 10, 2023 18:47 MYT
PHNOM PENH: Atlet wushu kebangsaan Tan Cheong Min mendedahkan terdapat pihak 'mempersendakan' keputusannya untuk bertanding pada Sukan SEA 2023 selepas menghadiahkan emas sulung kem wushu negara di temasya sukan dwitahunan itu di sini, hari ini.
Cheong Min yang juga juara dunia 2019 berkata ramai orang bercakap mengenai keputusannya untuk bertanding pada temasya sukan dwitahunan itu ketika beliau masih sedang giat membuat persediaan.
Atlet berusia 24 tahun itu berkata alasan yang diberikan rata-rata orang ketika itu ialah Sukan SEA bukan tarafnya yang sudah pun mengukir nama di pentas antarabangsa dan mencapai kejayaan di peringat tertinggi.
"Sebelum saya datang ke sini sebenarnya ramai orang bercakap, Cheong Min awak sudah jadi juara dunia jadi mesti mudah untuk awak beraksi di Sukan SEA".
"Tetapi bagi saya dalam wushu tahap kesemua negara bertanding sangat tinggi, jadi tidak kisahlah saya telah memenangi Kejohanan Dunia sebelum ini, semuanya bermula dari sifar semula apabila saya bertanding jadi saya tidak anggap saya sebagai juara dunia," katanya ketika ditemui selepas final Nanquan wanita di sini.
Pada final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Cheong Min yang membuat penampilan pertamanya di Sukan SEA berjaya mengungguli saingan untuk merangkul emas selepas mengumpul keseluruhan 9.626 mata.
Pingat perak menjadi milik atlet Indonesia Tasya Ayu Puspa Dewi dengan kutipan mata 9.593 sementara wakil Myanmar Aye Thitsar Myint yang mengumpul 9.143 mata membawa pulang gangsa.
Mengulas mengenai pencapaiannya, Cheong Min mengakui puas dan sangat gembira apabila berjaya merangkul emas Sukan SEA yang sememangnya beliau nantikan sekali gus dapat menghadiahkan emas buat kem wushu negara pada temasya kali ini.
"Pada edisi lepas, acara saya tidak dipertandingkan, jadi saya agak sedih pada masa itu tetapi kini akhirnya berpeluang mewakili Malaysia ke Sukan SEA dan saya sangat berpuas hati dan berbangga kerana saya dapat menyumbangkan pingat emas untuk Malaysia dan diri saya," katanya.
Dalam pada itu, hasrat beliau untuk menambah pungutan pingat tidak kesampaian selepas beliau bersama-sama rakan sepasukan Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee menamatkan final Duilian wanita di kedudukan kelima.
-- BERNAMA