Cheng Hoe tinggalkan Selangor FC, bakal bimbing kelab Thailand

Bernama
Februari 28, 2024 21:45 MYT
Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe (gambar) telah membantu Selangor FC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023. - Gambar fail Astro ARENA
KUALA LUMPUR: Pasukan Gergasi Merah akan memulakan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024 dengan ketua jurulatih baharu selepas Tan Cheng Hoe meninggalkan pasukan itu untuk membimbing sebuah kelab bola sepak di Thailand.
Selangor FC dalam satu kenyataan memaklumkan mereka telah mencapai persetujuan bersama Cheng Hoe untuk menamatkan kontrak beliau berkuat kuasa secara serta-merta.
“Selangor FC juga telah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau. Selangor FC berterima kasih kepada Tan Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, Selangor FC memaklumkan tempat Cheng Hoe bakal diisi oleh Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih sementara manakala pihak pengurusan kelab akan menjalankan proses pemilihan terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu.
Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe telah membantu Selangor FC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023, sekali gus memastikan Selangor FC layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.

Official and comfirmed, Tan Cheng Hoe letak jawatan sebagai jurulatih Selangor dan difahamkan Police Tero FC antara kelab Thai League 1 yang berminat menandatangani bekas jurulatih Harimau Malaya itu. @ASTROARENA https://t.co/ImJqYpP2bi

— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 28, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
-- BERNAMA
#Tan Cheng Hoe #Selangor FC #Thailand #pampasan