Cheng Hoe tidak mahu pemain cedera pada pertemuan dengan Maldives
Bernama
November 1, 2018 06:40 MYT
November 1, 2018 06:40 MYT
Perlawanan persahabatan terakhir dengan Maldives Sabtu ini akan menjadi ujian terakhir untuk menentukan barisan 23 pemain skuad Harimau Malaya menggalas cabaran negara pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 bermula 8 Nov ini.
Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, bagaimanapun, berharap tiada pemain mendapat kecederaan pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menjelang aksi pertama Piala AFF Suzuki menentang Kemboja, Rabu depan.
"Saya tak mahu pemain berasa tertekan untuk mempamerkan aksi yang terbaik pada perlawanan dengan Maldives tetapi sebagai motivasi, mereka perlu bermain dengan keyakinan yang tinggi," katanya kepada Bernama pada sesi latihan skuad negara di Padang A, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, pada Khamis.
Beliau berkata persiapan skuad negara berjalan lancar kecuali penyerang muda sensasi Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang masih belum pulih dari kecederaan.
Cheng Hoe berkata kesemua 26 pemain yang diminta menyertai skuad kebangsaan telah melaporkan diri termasuk lima pemain Perak yang sebelum ini terlibat dengan aksi final Piala Malaysia Sabtu lepas dan Muhammad Akhyar yang menyertai Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.
Mengulas mengenai pertemuan persabahatan dengan Maldives, katanya, dalam setiap perlawanan, beliau mahu kemenangan dan keputusan yang positif.
"Dan yang penting, kita nak tengok pemain tunjuk prestasi yang terbaik dari segi keserasian pemain," katanya.
Dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini, Malaysia menang 4-1 ke atas Sri Lanka dan kalah 1-0 kepada Kyrgyzstan.
Bagi saingan Piala AFF Suzuki, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar. Thailand, selaku juara edisi 2016, ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor Leste.
-- BERNAMA
#B-19
#bola sepak
#cedera
#harimau Malaya
#Malaysia
#Maldives
#Muhammad Akhyar Abdul Rashid
#perlawanan persabahatan
#Piala AFF Suzuki