Cheng Hoe tidak cadang guna formasi tiga pertahanan

Bernama
Oktober 8, 2018 05:43 MYT
Pemain skuad kebangsaan ketika menjalani latihan di Stadium Hang Tuah, Melaka, 8 Okt, 2018. --fotoBERNAMA
Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak bercadang menggunakan formasi tiga pemain pertahanan sepertimana digunakan pasukan bawah 23 tahun negara sehingga membuahkan hasil memberangsangkan pada Sukan Asia 2018, baru-baru ini.
Beliau berkata skuad Harimau Malaya akan mengekalkan strategi diguna pakai sebelum ini antaranya formasi empat pemain pertahanan pada aksi persahabatan antarabangsa bertemu Sri Lanka di Colombo, Jumaat ini, dan Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat di sini, pada 16 Okt.
"Saya akan kekalkan corak permainan seperti kita tampilkan sebelum ini, sudah tentu itu pilihan terbaik (kerana) setakat ini kita bermain dengan baik dan kita tidak bercadang ubah formasi itu," katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Hang Tuah di sini pada Isnin.
Pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos lepas, skuad bawah 23 tahun kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menggunakan formasi tiga pemain pertahanan, melalui gandingan Adam Nor Azlin, Dominic Tan dan Irfan Zakaria mencatat keputusan membanggakan.
Malaysia menewaskan Kyrgyzstan 3-1 sebelum membuat kejutan apabila menumpaskan juara bertahan Korea Selatan 2-1 dalam aksi Kumpulan E, sekali gus layak ke pusingan kedua sebelum tewas tipis 0-1 kepada Jepun.
Ditanya tentang peranan bakal dimainkan Mohamadou Sumareh dalam taktikal skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe berkata beliau akan meletakkan pemain berasal dari Gambia itu di posisinya ketika beraksi dengan pasukan Pahang.
"Bagus juga kalau kita dapat uji beliau di posisi lain tetapi kita tunggu beliau lapor diri dahulu, saya harap beliau dapat mempamerkan aksi terbaik," katanya.
Sumareh yang beraksi di bahagian sayap dan penyerang untuk pasukan Pahang, memperoleh kerakyatan Malaysia pada April lepas dan pertama kali disenarai dalam 24 pemain pada kem latihan skuad Harimau Malaya kali ini.
Sementara itu, ketua pasukan Harimau Malaya Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak berharap pemain yang mendapat panggilan pertama menyertai kem latihan pusat berkenaan, serta pemain muda dapat menggunakan perlawanan persahabatan tersebut untuk menyesuaikan diri dengan anggota pasukan lain.
"Sesi latihan agak singkat, maka saya berharap pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat agar kita semua dapat bermain dengan baik sebagai satu pasukan," katanya.
Selain Sumareh dan Matthew Davies (Pahang); penjaga gol Haziq Nadzli dan Syamer Kutty Abba (JDT) serta Kenny Pallraj dan Nor Hakim Hassan (Perak), turut tersenarai pada sesi latihan skuad negara kali ini.
-- BERNAMA
#bola sepak #empat pemain pertahanan #formasi #harimau Malaya #Mohamadou Sumareh #Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak #Ong Kim Swee #pemain #perlawanan persahabatan #pertahanan #Republik Kyrgyz #skuad #Sri Lanka #Sukan Asia #Tan Cheng Hoe #tiga pemain pertahanan
;