Cheng Hoe puji aksi cemerlang Muhammad Syafiq
Bernama
Oktober 5, 2019 05:57 MYT
Oktober 5, 2019 05:57 MYT
Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji persembahan cemerlang yang ditampilkan penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang meledak jaringan hatrik untuk membantu Malaysia membenam Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, pengendali berusia 51 tahun itu berharap penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dapat mengekalkan prestasi cemerlangnya apabila skuad Harimau Malaya turun berdepan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Okt ini.
"Setakat ini, Muhammad Syafiq telah bermain dalam tiga ke empat perlawanan dan permainan beliau semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Saya berharap beliau dapat kekal konsisten dan dapat menjaringkan gol apabila kita memerlukan jaringan dalam perlawanan selepas ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pada aksi berkenaan, Muhammad Syafiq mempamerkan sentuhan penyudah cemerlang dengan meledak jaringan pada minit kesembilan, minit ke-76 dan minit ke-89.
Tiga lagi gol skuad kebangsaan dijaringkan oleh Shahrul Mohd Saad pada minit ke-14, Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-17) dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-51.
Dalam pada itu, Cheng Hoe mengesahkan tiga pemain tidak akan dibawa untuk aksi berdepan Vietnam susulan kecederaan yang dialami mereka masih belum pulih sepenuhnya, iaitu pemain tengah, Nor Azam Abdul Azih, pemain sayap, J. Partiban dan penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi.
Beliau bagaimanapun yakin ketiadaan mereka mampu ditampung oleh beberapa pemain lain yang turut mempamerkan aksi cemerlang menentang Sri Lanka pada malam ini.
Sementara itu Ketua Jurulatih Sri Lanka, Nizam Packeer Ali berkata kekalahan teruk pada malam ini akan menjadi pengajaran terbaik buat pemainnya sebelum berhadapan cabaran hebat bertemu Korea Selatan dalam aksi ketiga kelayakan Kumpulan H di Stadium Hwaseong, Gyeonggi pada 10 Okt ini.
"Malaysia bermain dengan sangat baik dan tekanan yang diberikan kepada kami sepanjang perlawanan akan memberikan pengalaman yang bagus sebelum bertemu Korea Selatan (minggu depan).
"Kami terpaksa mengakui hakikat bahawa pasukan Malaysia adalah lebih baik. Pemain kami bermain dengan baik di Malaysia, tetapi penyudah kami amat teruk," katanya.
-- BERNAMA
#bola sepak
#Bukit Jalil
#Harimau Malaysia
#jaringan hatrik
#Korea Selatan
#Malaysia
#Muhammad Syafiq Ahmad
#Nizam Packeer Ali
#perlawanan persahabatan
#Piala Dunia
#pusingan kelayakan
#Sri Lanka
#Tan Cheng Hoe
#Vietnam