Cheng Hoe mahu lakar rekod tersendiri berdepan Indonesia
Bernama
September 4, 2019 20:23 MYT
September 4, 2019 20:23 MYT
Perjuangan Malaysia dalam misi mara ke Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula esok apabila skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe bakal diuji berdepan musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, malam esok.
Ia adalah perlawanan pembukaan Kumpulan G saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas Malaysia mudah membelasah Timor Leste 12-2 secara agregat pada pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lepas.
Berdasarkan statistik, kedua-dua pasukan merekodkan 95 pertemuan sejak 1957 dengan Malaysia memenangi 35, seri 21 dan tewas 39 kali.
Namun, Cheng Hoe secara peribadi enggan menjadikan rekod dan sejarah pertemuan sebagai kayu pengukur untuk meraih tiga mata berharga sekali gus menamatkan badi 15 tahun tanpa sebarang kemenangan di stadium keramat skuad Garuda itu.
"Kita tengok sejarah, rekod menentang Indonesia lebih berpihak kepada mereka dan sebenarnya bukan mudah berdepan mereka terutama apabila kita bertandang ke Gelora Bung Karno.
"Rasanya kita tidak perlu lagi terlalu memandang tentang rekod dan sejarah. Kita perlu maju ke hadapan buka lebaran baru sebab pasukan ini mempunyai jurulatih berbeza dan set pemain berbeza berbanding sebelum ini," katanya pada sidang media pra perlawanan Indonesia dan Malaysia di sini, hari ini.
Kali terakhir Malaysia berjaya menundukkan Indonesia di Gelora Bung Karno adalah pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2004 yang menyaksikan skuad kendalian Bertalan Bicskei meraih kemenangan tipis 2-1.
Sehubungan itu, Cheng Hoe mengakui mahu menikmati 'penampilan' pertamanya di stadium keramat itu dalam keadaan serta suasana harmoni selepas melalui sejarah hitam sebagai pembantu jurulatih ketika Malaysia menjulang trofi Piala AFF 2010.
"Kita satu rumpun, kita perlu faham dan hormat antara satu sama lain tetapi dalam padang, ya kita adalah lawan tetapi bukan musuh. Jadi tumpulah kepada bola sepak," tambah beliau.
Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Indonesia pada final Piala AFF 2010 dengan agregat 4-2 selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum tumpas 1-2 di Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir kedua.
-- BERNAMA
#Bertalan Bickskei
#bola sepak
#Indonesia
#Jakarta
#Piala AFF 2004
#Piala AFF 2010
#Piala Dunia 2022 Piala Asia 2023
#skuad garuda
#Stadium Nasional Bukit Jalil
#Tan Cheng Hoe
#Timor Leste