Cheng Hoe mahu beri Harimau Malaya nafas baru

Astro Arena
Disember 8, 2017 15:43 MYT
Cheng Hoe mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Ismail yang memberi sepenuh kepercayaan kepadanya. - Gambar fail
KETUA jurulatih baru skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe, berjanji akan memperkenalkan perubahan, termasuk pendekatan pemilihan pemain dalam usaha memulihkan kembali maruah negara di pentas antarabangsa.
Jelas Cheng Hoe, dia akan memberi suntikan nafas baru kepada skuad kebangsaan dengan terus cuba menggunakan pendekatan pemain muda.
Dia berminat dengan pendekatan jangka panjang sebegitu bagi memberi peluang kepada bakat-bakat baru, namun segala-galanya bergantung kepada pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Mesti ada perubahan yang akan dilakukan. Kami akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perancangan pasukan kebangsaan," ujar Cheng Hoe mengulas mengenai pelantikannya semalam.
Cheng Hoe turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Ismail yang memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.
Baginya, dia sama sekali tidak menjangka akan diberi tanggungjawab berkenaan seawal begini setelah dua kali bergelar penolong jurulatih.
"Saya menjunjung kasih kepada Tunku Ismail kerana memberi kepercayaan untuk saya menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan dan bekerja di bawah Tunku Ismail adalah satu penghormatan. Saya akan cuba memberikan yang terbaik demi memajukan bola sepak Malaysia."
#bola sepak #FAM #Harimau Malaysia #maruah #pelantikan #Persatuan Bolasepak Malaysia #perubahan #Tan Cheng Hoe #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;