Cheng Hoe dilantik ketua jurulatih Police Tero FC
Bernama
Februari 29, 2024 07:00 MYT
Februari 29, 2024 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih baharu sebuah kelab bola sepak dalam Liga Thailand, Police Tero FC, hari ini.
Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Police Tero menerusi hantaran di laman Facebook rasmi pasukan itu
"Police Tero FC mengumumkan pelantikan Tan Cheng Ho sebagai ketua jurulatih dan memindahkan jurulatih Yong Warawut Srimakha sebagai presiden teknikal. Selamat datang jurulatih Tan Cheng Hoe," menurut hantaran itu.
Perkembangan baharu itu sekali gus menjawab desas-desus berhubung hasrat Cheng Hoe membimbing sebuah kelab di negara Gajah Perang berkenaan selepas tidak lagi bersama pasukan Selangor pada Rabu.
Pada Rabu, Selangor FC menerusi kenyataan memaklumkan akan memulakan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024 dengan ketua jurulatih baharu.
Kenyataan itu memaklumkan Selangor FC telah mencapai persetujuan bersama Cheng Hoe untuk menamatkan kontrak berkuat kuasa serta-merta.
Tempat Cheng Hoe bakal diisi Nidzam Jamil selaku ketua jurulatih sementara, dalam pada menunggu pelantikan ketua jurulatih baharu.
Sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe telah membantu Gergasi Merah menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan Liga Super Malaysia 2023, sekali gus memastikan mereka layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.
-- BERNAMA