Cheng Hoe dedah pemain B-23 negara diserap dalam skuad kebangsaan

Bernama
Mei 30, 2019 15:11 MYT
CHENG HOE: Saya harap dengan adanya generasi masa depan pasukan negara dapat menjadikan pasukan yang seimbang.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan potensi besar dimiliki pemain Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebagai aset masa depan bola sepak tanah air.
Cheng Hoe menyenaraikan 11 pemain B-23 dan sebahagian bekas pemain skuad B-23 negara kini berumur antara 24 dan 25 tahun bagi pemilihan menghadapi 'playoff' Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berdepan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini.
Jumlah itu menyaksikan hanya tiga pemain berusia 30 tahun ke atas iaitu Norshahrul Idlan Talaha, 33, Mohd Farizal Marlias (33) dan Mohd Syazwan Zainon (30) melengkapkan senarai 26 pemain yang dipanggil Cheng Hoe kali ini.
Cheng Hoe menjadikan pencapaian diraih pemain B-23 pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain sejarah dicipta pada Kejuaraan AFC B-23 2018 di China dan prestasi di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang sebagai kriteria utama pemilihan pemain B-23.
"Saya nampak pemain B-23 ramai yang mempunyai potensi besar untuk masa depan pasukan negara. Kita perlu membentuk sebuah pasukan masa depan yang mantap, itu sebabnya saya serapkan ramai kerana kalau kita tengok dari segi pengalaman, pencapaian dan prestasi sejak 2017, itu kriteria yang memberi saya keyakinan.
"Pemain-pemain ini satu hari nanti boleh memberikan persembahan terbaik untuk pasukan negara," katanya kepada Bernama.
Pengendali berusia 51 tahun itu berkata kehadiran ramai pemain B-23 juga memberikan keseimbangan di dalam skuad kali ini.
Beliau berkata keseimbangan itu diperlukan bagi mengharungi tiga aksi termasuk perlawanan persahabatan berdepan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini, dan untuk menjayakan misi layak ke peringkat kelayakan seterusnya.
"Saya harap dengan adanya generasi masa depan pasukan negara dapat menjadikan pasukan yang seimbang. Kita ada barisan pemain lengkap di setiap posisi dan apa yang penting kita kena fokus tiga perlawanan.
"Aksi itu cukup penting dan jika memenanginya, ia menunjukkan kita berjaya capai sasaran tahun ini untuk layak ke peringkat seterusnya," tambah beliau.
Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap pemain muda negara sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri dan menunjukkan kualiti tertinggi setiap kali beraksi.
Cheng Hoe berkata beliau sanggup bersama-sama pemain ini berusaha mengembalikan kegemilangan skuad Harimau Malaya.
"Mereka perlu berusaha keras untuk tempatkan diri dalam kesebelasan utama. Bukan kali ini sahaja tetapi untuk masa akan datang...mereka kena kekalkan konsistensi sama ada bermain dalam liga, untuk skuad negara atau mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2019.
"Ya, adalah diharapkan sebagai seorang jurulatih saya sanggup tua bersama mereka dan saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka," katanya.
-- BERNAMA
#b-23 #bola sepak #harimau Malaya #jurulatih harimau malaya #pemain negara #skuad kebangsaan #Tan Cheng Hoe
;