Chen Long halangan utama Chong Wei raih gelaran ke-12 Terbuka Malaysia

Bernama
April 2, 2017 14:59 MYT
Perlawanan dengan Chen Long pasti juga dinanti-nantikan selepas juara dunia itu menyekat peluang Chong Wei (gambar) merangkul pingat emas Sukan Olimpik Rio, Ogos lepas. - Gambar fail
Final impian antara jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan seteru utama, Lin Dan pasti dinanti-nantikan peminat di kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia, di Kuching bermula Selasa ini.
Chong Wei, pilihan utama kejohanan, serta bintang kidal dari China itu diletakkan dalam undian yang berbeza, dengan kedua-dua mereka dapat mengelak pertembungan awal sehinggalah ke final.
Namun sebelum Chong Wei mahu melengkapkan kemenangan kali ke-12 dalam acara perseorangan lelaki kejohanan ini, beliau dijangka perlu berdepan dua pemain China, Tian Houwei dan juara Olimpik, Chen Long, masing-masing di suku akhir dan separuh akhir.
Kejohanan yang menawarkan hadiah wang keseluruhan US$600,000 (RM2.64 juta) akan dilangsungkan di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak, Petra Jaya di sini dari 4 hingga 9 April ini.
Dalam undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Chong Wei, 34, akan menentang pemain nombor 14 dunia, Rajiv Ouseph dari England sebelum berdepan pemenang pertemuan Anders Antonsen dari Denmark dan dengan Hu Yun dari China.
Perlawanan dengan Chen Long pasti juga dinanti-nantikan selepas juara dunia itu menyekat peluang Chong Wei merangkul pingat emas Sukan Olimpik Rio, Ogos lepas yang juga pertembungan terakhir mereka dengan rekod pertemuan kini terikat pada 13-13.
Lin Dan, pemain ranking ketujuh dunia akan membuka cabaran menentang pemain India, H.S Prannoy manakala Chen Long pula menentang Wei Nan dari Hong Kong.
Aksi kedua-dua pemain China ini pastinya menjadi tumpuan selepas masing-masing tersingkir di peringkat awal Seluruh England, pertengahan bulan lepas.
Pilihan kedua kejohanan, Jan O Jorgensen dari Denmark pula akan membuka kempennya menentang Christie Jonatan dari Indonesia.
Tiga pemain perseorangan negara - Daren Liew, Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli - perlu mengharungi pusingan kelayakan pada Selasa ini untuk mencari tiket ke undian sebenar yang bermula Rabu.
Daren akan berdepan pemain India, B Sai Praneeth, Wei Feng pula menentang Lee Dong Keun dari Korea Selatan manakala pemain Indonesia, Mustofa Ihsan Maulana menjadi halangan Zulfadli.
-- BERNAMA
#badminton #Chen Long #Kuching #Lee Chong Wei #Lin Dan #Malaysia #persekutuan badminton dunia #Siri Super Premier Terbuka Malaysia
;