Chelsea pecat Lampard susulan prestasi buruk

Agensi
Januari 25, 2021 07:11 MYT
Lampard menjadi pengurus ke-12 Chelsea yang dipecat sejak jutawan Rusia, Roman Abramovich memiliki kelab berkenaan pada 2003. - Foto REUTERS
LONDON: Chelsea memecat Frank Lampard pada Isnin selepas 18 bulan menjadi pengurus, susulan prestasi buruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), walaupun telah membelanjakan lebih 200 juta pound (AS$273.28 juta) musim lalu.
Tugas itu bakal diganti oleh bekas pengendali Paris St Germain (PSG), Thomas Tuchel, media British melaporkan.
Lampard, 42, telah membimbing kelab itu pada kedudukan empat terbaik dalam saingan Piala FA pada musim 2019-20, namun kini The Blues bergelut di tempat kesembilan dalam carta EPL, 11 mata di belakang pendahulu, Manchester United.
Mereka juga kalah dalam lima daripada lapan perlawanan terakhir EPL selepas permulaan musim yang baik.
“Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk kelab ini lebih-lebih lagi kerana saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Frank dan saya sangat menghormati dia,” kata pemilik Chelsea, Roman Abramovich dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi Chelsea.
“Dia seorang yang mempunyai integriti dan berdedikasi ketika bekerja. Namun, kami rasa keputusan untuk menukar pengurus adalah langkah yang terbaik buat masa ini.”
Bekas pemain tengah England itu telah memenangi tiga gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-juara serta merupakan penjaring terbaik Chelsea.
Dia menjadi pengurus ke-12 Chelsea yang dipecat sejak jutawan Rusia, Roman Abramovich memiliki kelab berkenaan pada 2003.
Lampard dilantik dengan kontrak tiga tahun pada Julai 2019 bagi menggantikan Maurizio Sarri.
#Frank Lampard #Chelsea #Liga Perdana Inggeris #EPL #The Blues #roman abramovich
;